Manage PermissionsManage Permissions

Pertukaran maklumat perundangan dari tiga negara



​Berita dan Foto : Ak. Syi'aruddin Pg. Dauddin

 

 


JERUDONG, Rabu, 9 Oktober. - Disebabkan wujudnya platform seperti 'wikileaks', pendedahan data kerajaan yang sensitif menjejaskan kerja-kerja agensi keselamatan awam dan keselamatan pekerja-pekerja.

 

Undang-undang adalah pertahanan pertama dan terakhir untuk menjamin keselamatan data kerajaan.

 

Walau bagaimanapun, isu-isu yang berbangkit mengenai keselamatan data adalah sangat rumit, di mana seluruh kerajaan setentunya akan terlibat bagi memastikan perhimpunan data adalah terjamin.

 

Perkara tersebut dijelaskan oleh Peguam Negara, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Awang Haji Hairol Arni bin Haji Abd. Majid pada Acara Kali Ke-9 Pejabat Peguam Negara, Negara Brunei Darussalam, Malaysia dan Singapura (TriAGC) di The Empire Hotel & Country Club, Jerudong, di sini.

 

Dalam bidang kerja kritikal seperti ini, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Awang Haji Hairol Arni percaya bahawa ada banyak yang dapat dipelajari daripada pertukaran pengalaman di antara ketiga-tiga Pejabat Peguam Negara.

 

Turut hadir bagi sama-sama merasmikan acara tersebut, Peguam Negara Malaysia, Yang Berbahagia Tan Sri Tommy Thomas; dan Peguam Negara Republik Singapura, Yang Berhormat Tuan Lucien Wong Yuen Kuai.

 

Acara yang bertemakan 'Perundangan di Abad ke-21 : Cabaran Masa Akan Datang dan Hala Tuju' tersebut disertai oleh 120 peserta terdiri daripada pegawai-pegawai dari ketiga-tiga Pejabat Peguam Negara.

 

Acara TriAGC yang bermula pada tahun 2006 merupakan forum bagi pertukaran maklumat dan di bidang undang-undang di antara ketiga-tiga negara yang berkongsi sistem 'Common Law'.

 

Acara yang diadakan setiap dua tahun itu memberikan peluang dan platform yang terbina daripada kerjasama sedia ada dan mengeratkan hubungan di antara para pegawai dari Pejabat Peguam Negara masing-masing, termasuk dalam bentuk program penempatan kerja, bengkel-bengkel serta latihan 'in-house'.


Close