Manage PermissionsManage Permissions

Terima kunjungan hormat Ketua Pengarah ISESCO



​Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Pendidikan





BERAKAS, Rabu, 9 Oktober. - Pemangku Menteri Pendidikan, Negara Brunei Darussalam Yang Mulia Datin Seri Paduka Dr. Hajah Romaizah binti Haji Mohd. Salleh menerima kunjungan hormat daripada Ketua Pengarah Pertubuhan Islamic Educational, Scientific and Cultural Organization (ISESCO), yang berpusat di Rabat, Maghribi, Tuan Yang Terutama Dr. Salim Mohammed A. Al Malik yang mengadakan Lawatan Kerja ke negara ini.



Negara Brunei Darussalam merupakan negara yang pertama dari negara-negara ahli Pertubuhan ISESCO dikunjungi oleh TYT Dr. Salim sejak dilantik sebagai Ketua Pengarah ISESCO pada bulan Mei 2019.



Dengan adanya lawatan tersebut, TYT Dr. Salim berhasrat untuk memperkukuhkan lagi kolaborasi yang sedia ada dan di masa akan datang antara Pertubuhan ISESCO dengan Negara Brunei Darussalam.



Kunjungan TYT Dr. Salim ke negara ini juga adalah sempena penghormatan yang berikan oleh Pertubuhan ISESCO bagi pemilihan Bandar Seri Begawan sebagai Bandaraya Kebudayaan Islam bagi Rantau Asia Tahun 2019.



Turut hadir semasa kunjungan hormat tersebut ialah Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Dr. Awang Haji Azman bin Ahmad.



TYT Dr. Salim semasa kunjungan hormat tersebut turut menyatakan penghargaan terhadap sumbangan dan sokongan berterusan negara ini kepada ISESCO.



Beliau juga menyeru bagi kerjasama dan perkongsian yang lebih padu di antara ISESCO dan Negara Brunei Darussalam.



Sehubungan itu, TYT Dr. Salim turut mengalu-alukan negara-negara anggota untuk menghantar pakar dan sumber daya manusia kepada organisasi berkenaan bagi perwakilan, latihan dan pembangunan kapasiti.



Beliau seterusnya memaklumkan bahawa ISESCO sentiasa bersedia untuk membantu negara-negara anggotanya, terutama dalam membentuk dan mengembangkan sektor pendidikan di negara-negara Islam selaras dengan tren yang terkini.



TYT Dr. Salim turut membuat kunjungan hormat kepada Timbalan Menteri Tenaga (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Matsatejo bin Sokiaw.

 

 

Sebagai sebahagian daripada agenda program lawatan, TYT Dr. Salim dijadualkan untuk membuat Lawatan Kerja ke Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSSA), Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) dan Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah.




Close