Manage PermissionsManage Permissions

Patuhi harga maksima



Siaran Akhbar : Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi



 

 

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 25 September. - Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE) di Kementerian Kewangan dan Ekonomi melalui Jabatan Persaingan dan Hal Ehwal Pengguna mencatatkan kadar kepatuhan Akta Kawalan Harga yang menggalakkan bagi bulan Julai dan Ogos 2019 dengan rekod masing-masing sebanyak tujuh dan dua kesalahan berbanding 22 dan 14 kesalahan pada tempoh yang sama tahun lepas.

 

Walau bagaimanapun, para peniaga terus dinasihatkan untuk sentiasa mengamalkan langkah-langkah bersesuaian bagi memastikan kepatuhan terhadap Akta Kawalan Harga.

 

Dalam tempoh dua bulan kebelakangan, JPKE mengeluarkan kompaun berjumlah BND500 kepada tiga buah syarikat perniagaan dan satu kompaun berjumlah BND700 kepada sebuah syarikat perniagaan bagi kesalahan berulang, iaitu menjual minyak masak melebihi harga maksima.

 

Kompaun-kompaun tersebut dikeluarkan kepada syarikat-syarikat perniagaan di Daerah Brunei dan Muara.

 

Pada masa yang sama, JPKE juga mengeluarkan lima notis amaran bagi kesalahan-kesalahan paparan tanda harga dan melebihi penetapan harga maksima.

 

Kesalahan-kesalahan berikut didapati semasa pihak JPKE melaksanakan lawatan pemeriksaan harian di empat-empat daerah dengan matlamat bagi memastikan para peniaga mematuhi Akta Kawalan Harga.

 

Semasa menjalankan lawatan pemeriksaan harian, para Pemeriksa Harga juga menasihatkan para peniaga juga memberikan pembarigaan kepada para pengguna mengenai Akta tersebut dan peraturan-peraturan di bawahnya, termasuk peraturan paparan tanda harga dan peraturan acara harga jualan murah.

 

Para peniaga diingatkan mengenai manfaat dan kebaikan amalan kepatuhan diri (self-compliance) terhadap Akta Kawalan Harga dan peraturan-peraturan di bawahnya, termasuk seperti menyumbang kepada membina reputasi perniagaan juga berupaya meningkatkan kesetiaan pelanggan.

 

Ini seterusnya boleh membantu membina ekonomi domestik yang berdaya-tahan dan persekitaran perniagaan yang baik di Negara Brunei Darussalam.

 

Selain itu, para peniaga juga dinasihatkan untuk mempamerkan tanda harga dengan jelas pada barangan yang dijual di dalam premis perniagaan bagi membolehkan pengguna untuk mempraktikkan hak dalam membuat keputusan pembelian dengan melaksanakan perbandingan harga barangan terlebih dahulu.

 

Ketelusan harga (price transparency) berfungsi dalam mempromosi kebajikan pengguna.

 

Walaupun harga maksima ditetapkan bagi sebelas barangan yang tersenarai di dalam Akta, termasuk minyak masak dan susu tepung anak damit, para peniaga digalakkan untuk menawarkan harga yang kompetitif tidak melebihi harga maksima yang ditetapkan.

 

Maklumat terkini penetapan harga maksima boleh diperoleh melalui laman sesawang JPKE di 'www.jpke.gov.bn/cad' atau aplikasi mudah alih 'PenggunaBijak / SmartConsumer', manakala harga barangan yang tidak tersenarai di dalam akta adalah tertakluk kepada kuasa pasaran (market forces).

 

Kegagalan dalam mematuhi Akta Kawalan Harga dan Peraturan-peraturannya boleh dikenakan kompaun tidak melebihi BND1,000.

 

Kesalahan berulang boleh dikenakan denda maksima sebanyak BND20,000 dan penjara selama lima tahun oleh mahkamah.

 

Bagi maklumat lanjut mengenai kawalan harga, orang ramai boleh menghubungi Jabatan Persaingan dan Hal Ehwal Pengguna melalui talian +673 2230223 (waktu pejabat) atau Hotline Pengguna, Talian Darussalam 123.

 

Selain itu orang ramai juga boleh menghubungi melalui aplikasi mudah alih : 'PenggunaBijak / SmartConsumer' atau e-mel : 'aduanpengguna@jpke.gov.bn' / 'consumercomplaint@jpke.gov.bn' dan laman sesawang : 'www.jpke.gov.bn/cad', Facebook : 'AduanPenggunaJPKE' atau Pejabat JPKE di alamat : Jabatan Persaingan dan Hal Ehwal Pengguna, Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi, Bilik 3.06, Tingkat 3, West Wing, Blok 2A, Jalan Ong Sum Ping, BA1131, Negara Brunei Darussalam.



Close