Manage PermissionsManage Permissions

SEAMEO - VOCTECH perlu tingkatkan sistem TVET




Berita dan Foto : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi





BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 11 September. - Pusat Serantau Pertubuhan Menteri-menteri Pendidikan Asia Tenggara (Southeast Asian Ministers of Education Organization Regional Centre -SEAMEO) bagi Pendidikan Vokasional dan Teknikal (VOCTECH) perlu menyediakan kepakaran dan perkhidmatan yang bukan hanya memenuhi keperluan negara secara individu tetapi untuk membawa pembangunan positif dan peningkatan sistem Latihan Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serantau dalam jangka sederhana dan panjang secara keseluruhan.


Timbalan Menteri Pendidikan, Yang Mulia Datin Seri Paduka Dr. Hajah Romaizah binti Haji Mohd. Salleh berkata, semua ini boleh dicapai dengan perancangan dan strategi yang betul.


Berucap pada Majlis Perasmian Program Peningkatan Kemahiran Teknikal bagi Pendidik dan Pelatih TVET di Asia Tenggara dan Mesyuarat Lembaga Pengarah SEAMEO - VOCTECH Ke-30, Datin Seri Paduka Dr. Hajah Romaizah melahirkan kegembiraan pada mengetahui bahawa 1 Julai 2019 merupakan permulaan bagi Pelan Pembangunan Lima Tahun (Five Year Development Plan - FYDP) Ke-6 dengan bertemakan 'Mempersiapkan TVET bagi Industri 4.0'.


Pada majlis yang berlangsung di Dewan Seri Kerna Pusat Serantau SEAMEO - VOCTECH di sini Yang Mulia Datin berkata, tema ini adalah sangat bertepatan pada masanya memandangkan terdapatnya kepentingan kemahiran baharu bagi tenaga kerja seperti kemahiran generik serta keperluan fungsi kognitif yang lebih tinggi sebagai tindak balas terhadap keperluan Industri 4.0.


Yang Mulia Datin juga turut gembira pada mengetahui bahawa SEAMEO VOCTECH telah memulakan landasan pengetahuan serantau yang dikenali 'SEA-VET.NET' dengan kerjasama GIZ-RECOTVET ' yang merupakan platform dalam talian yang akan mengisi jurang semasa di rantau ini dengan menyediakan pengamal dan penggubal dasar sebagai jalan untuk peningkatan dan pengharmonian serantau TVET merentas sempadan.


''Platform ini memudahkan pengajaran dan pembelajaran dalam talian; pertukaran pengetahuan dan tindakan bersama mengenai dasar-dasar TVET; perkongsian data dan penemuan penyelidikan.


Saya menyeru semua ahli agar mengambil kesempatan dan memanfaatkan sepenuhnya platform ini ke arah pembangunan TVET serantau,'' tegasnya.


Usaha kolaborasi tersebut, tambahnya, adalah penting dalam memperteguh dan menyelaraskan TVET dalam rantau ASEAN terutama peranan terpenting TVET dalam pembangunan sosioekonomi sejagat serta kesiapsiagaan bagi menghadapi globalisasi untuk meneruskan kerjasama ke arah merealisasikan matlamat pembangunan serantau bersama.

 

Terdahulu, Pengarah Pusat tersebut, Dr. Haji Mohd. Zamri bin Haji Sabli dalam alu-aluannya menjelaskan, Program Pusingan Kedua Peningkatan Kemahiran Teknikal yang merupakan sebuah projek kolaborasi bersama SEAMEO VOCTECH, TEMASEK Foundation dan Institusi Teknikal Pendidikan (ITE), Republik Singapura antaranya dihasratkan untuk mempertingkatkan kemahiran teknikal dan pedagogi guru pelatih dalam bidang perkhidmatan kecemerlangan di perkhidmatan perhotelan, restoran dan automotif menerusi penglibatan dalam program latihan induk di ITE Republik Singapura.


Program kedua ini, jelasnya, jumlah penyertaan guru atau pelatih mencecah seramai 712 orang, iaitu melebihi dari jumlah dari penyertaan pertama, 633 peserta.


Sementara Lembaga Pengarah TEMASEK Foundation, Singapura, Goh Yong Siang semasa berucap berkata, program kali kedua ini memfokuskan kepada tiga bidang perniagaan iaitu perhotelan, makanan dan minuman dan kejuruteraan automotif dan program menghasilkan dapatan yang baik dan para pendidik TVET ASEAN berpeluang untuk saling bertukar pengetahuan dan berkongsi pengalaman dalam pendidikan TVET antara satu sama lain.


Manakala Pengerusi Perkhidmatan Pendidikan ITE, Singapura, Heng Chiang Gnee pula memuji SEAMEO atas usaha gigihnya untuk mencapai kecemerlangan dalam TVET seperti yang disaksikan melalui komitmen dan penuh dedikasi dalam pelaksanaan projek, di samping pengiktirafan SEAMEO terhadap kepentingan TVET dalam menangani keperluan sosial dan ekonomi negara, terutamanya dalam mempertingkatkan kemahiran tenaga kerja ke arah menyokong pembangunan ekonomi dan mengurangkan pengangguran belia.


Pada majlis tersebut, Timbalan Menteri Pendidikan juga menyampaikan sijil-sijil kepada para pelatih dan seterusnya menyaksikan pameran produk yang berkaitan dengan program-program yang disertai oleh para peserta program.


Close