Manage PermissionsManage Permissions

Kejohanan Masters Fastpitch Softball Brunei Darussalam dirasmikan



Oleh : Haniza Abdul Latif \ Foto : Azmah Haji Ahad

 





BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 11 September. - Sebanyak tujuh buah pasukan menyertai Kejohanan Masters Fastpitch Softball Brunei Darussalam (NBT Trophy) yang berlangsung selama empat hari bermula hari ini sehingga 14 September.

 

Sehubungan itu, Majlis Pelancaran Kejohanan tersebut berlangsung hari ini, bertempat di Kompleks Sukan Berakas.

 

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya melancarkan kejohanan berkenaan, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

 

Presiden Persatuan Bola Lisut dan Besbol Amatur Brunei (BASBA), Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Lela Pahlawan, Mejar Jeneral (B), Dato Paduka Seri Haji Mohd Ja'afar bin Haji Abdul Aziz dalam ucapan alu-aluannya antara lain menjelaskan sukan Softball telah diperkenalkan di Negara Brunei Darussalam sejak 1982 oleh Jabatan Belia dan Sukan.

 

Tambahnya, dalam jangka umur 37 tahun, BASBA telah dapat menyatukan masyarakat Brunei beriadah dan bersukan.

 

Menurutnya lagi, pada tahun ini, BASBA telah berkunjung bagi memperkenalkan sukan Softball ke sekolah-sekolah dan institusi-institusi tinggi yang mana diharap melalui inisiatif ini akan banyak lagi generasi muda mengikuti sukan tersebut pada tahun-tahun akan datang.

 

Pada majlis tersebut, Pengarah Urusan NBT Sendirian Berhad, Awang Haji Ahmad Omar bin Pehin Datu Haji Husin telah menyerahkan Piala Rebutan kejohanan tersebut kepada Presiden BASBA.

 

Majlis diteruskan dengan memperkenalkan pasukan-pasukan yang menyertai kejohanan kepada Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, disusuli dengan pelancaran Kejohanan Fastpitch Masters Softball.

 

Terdahulu, pada perlawanan pembukaan, pasukan Lelaki Negara Brunei Darussalam tewas kepada pasukan China, Hong Kong dengan keputusan 0 – 12.

 

Sementara itu, dalam perlawanan Kategori Wanita, pasukan Negara Brunei Darussalam membenam pasukan China, Hong Kong yang berkesudahan 15 - 0.

 

Kejohanan Fastpitch Masters Softball terbahagi kepada dua kategori iaitu Kategori Lelaki dan Kategori Wanita yang mana disertai oleh pasukan dari Negara Brunei Darussalam; China, Hong Kong; Indonesia; Japan; Malaysia; Singapura dan Thailand.

 

Juga hadir ke majlis pelancaran tersebut ialah Duta-Duta Besar Istimewa dan Mutlak ke Negara Brunei Darussalam, Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), para pegawai KKBS serta penggemar sukan Bola Lisut.



Close