Manage PermissionsManage Permissions

Gula-gula White Rabbit mengandungi protein khinzir



Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Hal Ehwal Ugama





BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 18 Mei. - Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) Negara Brunei Darussalam melalui Bahagian Kawalan Makanan Halal (BKMH), Jabatan Hal Ehwal Syariah telah menghantar produk makanan gula-gula Creamy Candy berjenama White Rabbit keluaran Negara China untuk dianalisa kandungan bahan ramuan yang digunakan.


Hasil keputusan penganalisaan makmal yang dibuat oleh Jabatan Perkhidmatan Saintifik, Kementerian Kesihatan telah mendapati bahawa produk tersebut positif mengandungi protein khinzir.


Berikutan hasil dapatan terkini ini, KHEU meminta kerjasama daripada para pengimport dan peniaga untuk membuat pengasingan produk tersebut dari tempat penyimpanan umum dan diletakkan di bahagian 'Non-Halal'.


Pengguna berugama Islam yang memiliki produk terbabit adalah dikehendaki untuk menjauhi dan tidak memakan produk ini.


Sehubungan dengan itu, KHEU juga mengingatkan kepada semua pengimport produk makanan ke negara ini supaya mengambil langkah berpatutan dengan melabel kandungan bahan ramuan produk-produk makanan yang diimport menggunakan bahasa Melayu atau Inggeris secara telus dan bertanggungjawab. Pelabelan tersebut bertujuan untuk memudahkan orang ramai mengetahui isi kandungan produk dan membuat pilihan tepat sebelum membeli sebarang produk.


Pelabelan secara salah, mengeliru atau memperdaya boleh dikenakan di bawah peruntukan 9 (b) Akta Kesihatan Awam (Makanan) Penggal 182 iaitu: ''melabel, membungkus, menyediakan, menjual atau mengiklankan sebarang makanan dengan cara yang salah, mengeliru atau memperdayakan tentang ciri, jenis, nilai, bahan, kualiti, komposisi, merit atau keselamatan, kekuatan, ketulenan, berat, asal, umur atau kadarannya, atau dengan melanggar bab 10 atau peruntukan-peruntukan lain Akta ini.''


Kesalahan sedemikian boleh membawa hukuman penjara selama lima tahun atau suatu denda atau kedua-duanya sekali.


KHEU juga mengingatkan orang ramai, terutamanya umat Islam di Negara Brunei Darussalam agar lebih berhati-hati dalam memilih / membeli produk-produk makanan atau minuman yang dijual di pasaran dengan memastikan produk berkenaan mempunyai pengesahan halal dari mana-mana badan pensijilan halal yang diperakui.

 

Di samping itu, KHEU menekankan bahawa adalah menjadi kesalahan bagi mana-mana peniaga yang mempunyai Sijil Halal atau Permit  Halal menjual, menghidangkan atau menggunakan produk-produk makanan yang belum mendapat kebenaran daripada Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) dan boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Bab 37 Perintah Sijil Halal dan Label Halal 2005 dan jika didapati bersalah boleh dikenakan denda tidak melebihi dari BND8,000, dihukum penjara selama suatu tempoh yang tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.





Close