Manage PermissionsManage Permissions

Festival PMKS platform promosi jenama Brunei



Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman \ Foto : Azmah Haji Ahad





JERUDONG, Khamis, 28 Mac. - Festival pameran produk dan perkhidmatan tempatan terbesar Negara Brunei Darussalam yang disertai oleh lebih 200 Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) dilancarkan hari ini oleh Darussalam Enterprise (DARe) bertempat di Bridex Hall, Jerudong, di sini.


Pelancaran Pesta Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana Negara Brunei Darussalam (Brunei MSME Festival) 2019 itu disempurnakan oleh Menteri Tenaga (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mat Suny bin Haji Md. Hussein yang juga selaku Pengerusi Darussalam Enterprise (DARe).


Bersempena dengan festival tersebut, juga dianjurkan persidangan yang membawa tema 'Tapping New Markets: Exporting For Growth' yang dikelolakan oleh Asia Inc Forum.


Ketua Pegawai Eksekutif DARe, Awang Javed Ahmad dalam ucapan alu-aluannya menjelaskan, tujuan utama pengendalian Brunei MSME Festival ini adalah untuk menyediakan platform bagi jenama-jenama Brunei untuk mendapatkan akses serta pengesahan pasaran (market access and validation), membarigakan dasar baharu perniagaan (business reforms) dari sektor awam dan peluang perniagaan dari sektor swasta, di samping memberi kesempatan bagi pengusaha-pengusaha tempatan untuk mengongsikan cerita perjalanan perniagaan mereka kepada orang ramai.


Perkongsian pengalaman ini, jelasnya, diharap dapat memberi inspirasi lebih ramai anak-anak tempatan untuk menceburi bidang keusahawanan.


Beliau menambah, sebagai sebahagian daripada usaha untuk menolong perniagaan-perniagaan untuk menggunakan teknologi dalam aspek operasi perniagaan mereka, Brunei MSME Festival ini juga akan membawa 'agenda tanpa tunai' untuk mengolahkan pengalaman industri.


'Digitalisation' dalam perniagaan akan membawa kemanfaatan kepada masa depan perniagaan-perniagaan serta para pengguna disebabkan oleh kemudahan dan kecekapan yang disebabkan oleh teknologi.


Pada festival ini, jelas beliau, selain mengalu-alukan orang ramai, kami juga mengambil kesempatan untuk mengalu-alukan pengedar asing untuk mendapatkan produk-produk buatan Brunei untuk dipasarkan di pasaran masing-masing.


Kami juga bekerjasama dengan Asia Inc untuk menjalankan persidangan selama sehari yang memberi tumpuan khusus kepada eksport, manakala tiga hari seterusnya Sekretariat 'Ease of Doing Business' akan mengadakan taklimat serta perkongsian dari beberapa agensi kerajaan mengenai proses dan sokongan pihak kerajaan dalam membantu orang ramai serta para PMKS untuk memulakan, menjalankan dan mengembangkan perniagaan masing-masing.


Sejurus pelancaran, acara Festival MSME dimulakan dengan pembentangan persidangan mengenai topik-topik yang menumpukan kepada eksport antaranya 'Understanding the path to exports', 'access to markets', 'bulding a strong online presence', dan 'a model in exporting and a model in internationalization'.


Para pembentang pada persidangan tersebut mewakili mereka yang pakar dalam bidang pengeksportan tempatan dan serantau, antaranya ialah Pengarah MATRADE, Pejabat Serantau Sabah, Noor Azian Romlan; Ketua Pegawai Eksekutif Mindplus Edu, Pengiran Mohd. Khairi bin Pengiran Haji Metussin; Ketua Pegawai Eksekutif, Ghanim International Corporation, Dr. Nur Rahman; Ketua Pegawai Eksekutif 28Mall.com, Fione Tan; Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas, Nimanja, Anderson Lim; Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama, Christy Ng Shoes, Christy Ng dan Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas, Avantist Watches, Keeran Janin.


Sepanjang berlangsungnya festival yang diadakan sehingga 31 Mac ini, pelbagai aktiviti turut disediakan bagi penyertaan orang ramai, antaranya sesi taklimat mengenai memulakan perniagaan, menguruskan perniagaan, menubuhkan lokasi perniagaan, penyelesaian pertikaian komersial dan penyelesaian ketidakmampuan dan mengembangkan perniagaan oleh agensi kerajaan yang berkenaan.


Selain itu juga diadakan ialah sesi perkongsian dengan perusahaan tempatan mengenai cara-cara merebut peluang; beralih daripada perniagaan berasaskan rumah kepada kedai sendiri; perniagaan dan kerjaya dan penjenamaan dan pemasaran.


Aktiviti lain juga termasuk Perakaunan Dalam Talian untuk Perniagaan Tempatan oleh Dynamik Technologies; SME 360 Talk oleh Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD); Ladies Coffee Talk oleh Dynamik Technologies; Fintech Talk oleh Autoriti Monetari Negara Brunei Darussalam (AMBD) dan Sesi Demonstrasi Produk di bawah inisiatif rak pasar raya buatan Brunei DARe.


Mereka yang berminat untuk mengetahui aktiviti dan segala maklumat yang diadakan di sepanjang festival boleh mendapatkan segala butiran di laman sesawang 'www.msmefestival.com' atau melayari Facebook dan Instagram '@bruneimsme'.


Dibukakan bagi kunjungan orang ramai bermula jam 9.00 pagi hingga 9.00 malam, pihak penganjur juga menyediakan perkhidmatan 'shuttle bus' percuma bagi keselesaan orang ramai, di mana mereka boleh meletakkan kereta masing-masing di kawasan Jerudong Park Foodcourt (di belakang Restoran Mr BBQ).



Close