Manage PermissionsManage Permissions

Penganugerahan satu penghormatan kepada baginda, negara



Siaran Akhbar : Jabatan Perdana Menteri / Foto : Hamzah Mohidin, Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid

 

 



SHAH ALAM, SELANGOR, Sabtu, 23 Mac. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan menerima Ijazah Doktor Kehormat (Kepimpinan Islam) sempena Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM) Ke-90, yang berlangsung di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC), UiTM, Shah Alam, Selangor Darul Ehsan, Malaysia, di sini.

 

Anugerah tersebut disampaikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Malaysia XVI (Ke-16), Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah, selaku Canselor Universiti Teknologi MARA.

 

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, semasa mengurniakan titah sejurus selepas berkenan menerima anugerah berkenan menzahirkan ucapan terima kasih ke hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Malaysia XVI (Ke-16), Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, selaku Canselor Universiti Teknologi MARA di atas penganugerahan Ijazah Doktor Kehormat (Kepimpinan Islam).

 

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia, penganugerahan ini merupakan satu penghormatan besar kepada baginda dan Negara Brunei Darussalam, dan ia sebagai pemangkin dalam mempertingkatkan lagi hubungan kerjasama akrab dan istimewa di antara Negara Brunei Darussalam dan Malaysia di pelbagai bidang, termasuk pendidikan.

 

Kebawah DYMM juga bertitah, di mana hubungan dua hala ini sentiasa diperkukuhkan lagi dengan kerjasama di antara universiti-universiti dari kedua-dua buah negara, termasuk UiTM seperti kerjasama dalam mobiliti pelajar di antara UiTM dan universiti-universiti Negara Brunei Darussalam; latihan industri para pelajar UiTM di Pusat Penyelidikan Halalan Thayyiban, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA); dan kerjasama rintis UiTM dan UNISSA dalam beberapa bidang, termasuk Penganjuran Persidangan Antarabangsa Halal pada bulan April akan datang.

 

Titah baginda menambah, ke arah ini, bidang penyelidikan dan pertukaran pelajar intitusi-insitusi pengajian tinggi hendaklah dijalin lebih kukuh lagi bagi memberikan impak yang besar kepada kedua-dua buah negara.

 

Di samping itu, baginda bertitah, Negara Brunei Darussalam sentiasa mengalu-alukan rakyat dan penduduk Malaysia yang ingin meneruskan pengajian mereka di institusi-institusi pengajian tinggi di Negara Brunei Darussalam.

 

Pada mengakhiri titah, baginda menekankan sejarah di antara kedua-dua buah negara merupakan satu sejarah besar yang penting berlandaskan kepada pegangan ajaran agama Islam.

 

Ini kemudiannya diikuti dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku Canselor UiTM yang antara lainnya mengalu-alukan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke UiTM dan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada baginda dengan penganugerahan Ijazah Doktor Kehormat (Kepimpinan Islam).

 

Pada sebelah tengah hari, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam seterusnya berangkat bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Malaysia ke Dewan Perdana, Hotel Grand BlueWave, Shah Alam bagi menghadiri Majlis Santapan Diraja sempena Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-90 yang dihoskan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong.

 


Close