Manage PermissionsManage Permissions

Kongsi potensi kepelbagaian peluang geosains



Berita dan Foto : Mohamad Azmi Awang Damit





BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 1 November. - Salah satu cabaran yang dihadapi oleh industri minyak dan gas adalah untuk meneroka, membangun dan terus menghasilkan minyak serta gas asli dengan keadaan geologi dan geofizik yang kompleks.


Perkara tersebut dinyatakan oleh Pengarah Urusan Dimension Strata Sendirian Berhad, Awang Mohammad Reduan bin Haji Mohd. Yusof semasa menyampaikan ucapan alu-aluan semasa sesi pembentangan bertajuk Geosains di Brunei Darussalam : Peluang Bagi Kepelbagaian yang berlangsung di Hotel Radisson.


''Dengan peningkatan harga minyak yang tidak dapat diduga dalam jangka masa yang panjang, industri ini terus berusaha untuk meneroka pelbagai teknologi melalui inovasi untuk terus meningkatkan produktiviti dengan meminimakan risiko eksplorasi, meningkatkan kecekapan penggunaan kos operasi serta masa, mengurangkan kos dengan rasional, mengoptimakan produksi dan secara berterusan berusaha ke arah penambahbaikan,'' tambahnya.


Jelasnya, tiga sesi pembentangan yang disampaikan oleh Dr. Lorenzo Lipparini, Dr. AKM Eahsanul Haque dan Dr. Afroz Ahmad Shah akan dapat merangsang minda secara intelektual dan menambahkan ilmu dalam potensi kepelbagaian peluang yang boleh diusahakan dalam bidang geosains di Brunei Darussalam.


Menurutnya lagi, syarikatnya juga ingin menyahut titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa Majlis Konvokesyen Universiti Brunei Darussalam Ke-30 yang mana menekankan mengenai hasrat baginda untuk melihat lebih ramai mahasiswa terlibat dalam bidang penyelidikan serta penerokaan yang mempunyai potensi komersial.


Acara juga diteruskan dengan sesi Penandatanganan Memorandum Persefahaman di antara Dimension Strata Sendirian Berhad dan Serintel yang disaksikan oleh Timbalan Menteri Tenaga (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Matsatejo bin Sokiaw.


Penandatanganan Memorandum Persefahaman berkenaan akan dapat meningkatkan lagi perkhidmatan konsultasi dan latihan yang boleh ditawarkan kepada pelanggan-pelanggan bukan sahaja di Negara Brunei Darussalam tetapi juga negara-negara serantau.


Turut hadir ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Demokratik Timor-Leste ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Marcal Avelino Ximenes dan Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Naib Marsyal Udara Mahmud Hussain.


Dimension Strata Sendirian Berhad adalah sebuah syarikat yang menawarkan perkhidmatan konsultan, latihan dan penyelidikan serta perkembangan yang khusus dalam bidang geologi serta geofizik minyak dan gas di Negara Brunei Darussalam.


Manakala, Serintel merupakan syarikat global yang mempunyai kepakaran pemindahan teknologi dalam indusrti minyak dan gas sejak tahun 1991 dan mempunyai pakar-pakar profesional teknikal yang berpengalaman dalam pelbagai disiplin berkaitan.



Close