Manage PermissionsManage Permissions

Berangkat tiba di Amman, Jordan



Siaran Akhbar: Jabatan Perdana Menteri / Foto : Ampuan Haji Mahmud Ampuan Haji Tengah, Hamzah Mohidin


 




AMMAN, JORDAN, Rabu, 3 Oktober. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam  berangkat tiba di Amman, Kerajaan Hasyimiah Jordan bagi Keberangkatan Negara selama dua hari pada 3 dan 4 Oktober 2018.


Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen.


Berangkat ke Royal Pavilion, Lapangan Terbang Antarabangsa Queen Alia, Amman bagi mengalu-alukan keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia  ialah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Abdullah II ibn Al Hussein, Raja Jordan dan His Royal Highness Prince Al Hussein ibn His Majesty King Abdullah II, Putera Mahkota Jordan.


Juga hadir bagi menjunjung keberangkatan tiba Kebawah DYMM ialah Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd. Yusof dan Kuasausaha Sementara Kedutaan Besar Negara Brunei Darussalam di Kerajaan Hasyimiah Jordan, Dayang Siti Norsuriana binti Haji Mohamad Nor.


Kebawah DYMM bersama-sama dengan Kebawah DYMM Raja Jordan seterusnya berangkat melintasi Barisan Kawalan Kehormatan Statik yang terdiri daripada para anggota Pengawal Diraja Jordan sebelum menaiki kenderaan khas menuju ke sebuah hotel ternama di Amman, tempat persemayaman baginda di sepanjang Keberangkatan Negara.


Semasa Keberangkatan Negara tersebut, baginda akan mengadakan Kunjungan Muhibah kepada Kebawah DYMM Raja Jordan serta menghadiri Upacara Perbarisan Bendera Tahunan di Amman.


Kali terakhir baginda berangkat ke Kerajaan Hasyimiah Jordan adalah pada tahun 2009, manakala Kebawah DYMM Raja Jordan telah berangkat ke Negara Brunei Darussalam bagi Keberangkatan Negara dan Pameran dan Persidangan Pertahanan Antarabangsa Negara Brunei Darussalam (BRIDEX) masing-masing pada tahun 2008 dan 2009.


Hubungan diplomatik antara Negara Brunei Darussalam dan Kerajaan Hasyimiah Jordan telah dijalin pada 18 Februari 1985. Kedua-dua buah negara bekerjasama secara meluas dalam pelbagai bidang termasuk pertahanan, pendidikan, hal ehwal keagamaan, kesihatan, perdagangan, kebudayaan, belia dan sukan.



Close