Manage PermissionsManage Permissions

Program Sua Muka platform bagi mempromosikan kemajuan mukim dan kampung



Siaran Akhbar : Jabatan Penerangan / Foto: Hamzah Mohidin

 



 

TUTONG, Selasa, 4 September - Program Sua Muka atau dikenali dengan Personal Contact anjuran Jabatan Penerangan diteruskan lagi hari ini di kediaman Ketua Kampung Ukong, Awang Haji Muhd Nendaroh bin Datu Kornia Diraja Gadong.

 

Program tersebut merupakan salah satu aktiviti berterusan Jabatan Penerangan melalui Cawangan Penerangan Daerah Tutong untuk terus mendekati penduduk kampung di negara ini.

 

Mengetuai rombongan Jabatan Penerangan ialah Pemangku Pengarah Penerangan, Awang Mawardi bin Haji Mohammad yang disertai oleh beberapa orang pegawai dan kakitangan daripada Ibu Pejabat Jabatan Penerangan dan Cawangan Penerangan Daerah Tutong, Jabatan Penerangan.

 

Program Sua Muka adalah salah satu program di bawah strategi kerja jabatan iaitu Komunikasi Bersemuka, yang dihasratkan untuk meningkatkan hubungan dua hala antara pihak kerajaan dan rakyat. Ianya juga merupakan platform bagi mendapatkan isu-isu, pendapat dan cadangan yang perlu diambil perhatian serta tindakan oleh pihak-pihak yang berkenaan dalam kerajaan.

 

Dalam masa yang sama, program tersebut mejadi platform bagi membarigakan dan mempromosikan perkembangan dan kemajuan mukim dan kampung, terutamanya tempat dan produk untuk diperkenalkan kepada orang ramai, dalam dan luar negara melalui penulisan rencana Kenali Negara Kitani (KNK) untuk disiarkan di Pelita Brunei.

 

Kampung Ukong mula ditadbir oleh Awang Haji Muhd. Nendaroh bin Datu Kornia Diraja Gadong sejak 2 Disember 1996 hingga sekarang ini termasuklah Kampung Pangkalan Dong, Kampung Pangkalan Ran, Kampung Pak Bidang / Rumpau dan Kampung Sungai Damit Pemadang.

 

Dengan keluasan 26 kilometer persegi, keramaian penduduk Kampung Ukong kini ialah 1,292 orang.

 

Antara produk yang dihasilkan oleh penduduk Kampung Ukong ialah sagu yang mana tempat memproses ambulong tersebut menjadi tempat yang sering dikunjungi oleh pelancong dari luar dan dalam negara.

 

Di dalam Program Sua Muka ini, beberapa isu juga turut dikongsikan daripada pihak MPK iaitu mengenai kemudahan dan prasarana awam; menaiktaraf jalan raya, pembinaan masjid dan balai raya dan memohon tapak baru bagi menanam pokok-pokok rumbia serta tempat pemprosesan pembuatan ambulong.

 

Melalui Program Sua Muka, pihak Jabatan Penerangan telah mengongsikan mengenai garis pandu dan tatacara yang betul bagi pengibaran Bendera Negara dan penggunaan banner.

 

Selain itu, Jabatan juga memperkenalkan dan membarigakan mobile apps 'InfoDeptBN' dan seterusnya menerangkan tatacara untuk memuat turun aplikasi 'InfoDeptBN'.

 

Melalui mobile apps ini, pengguna bolehlah mendapatkan maklumat-maklumat dan berita-berita terkini seperti Pelita Brunei

 

Turut dikongsikan bersama para penduduk kampung ialah bagaimana menangani penyebaran berita atau maklumat palsu yang boleh menjejaskan ketenteraman, menimbulkan kekeliruan dan ketakutan kepada orang ramai.

 

Mengikut kaji selidik AITI, jumlah pengguna media sosial masa kini seperti Whatsapp adalah sebanyak 97.3 peratus, Facebook  91.7 peratus dan Instagram 87.4 peratus.

 

Pihak Jabatan Radio Televisyen Brunei (RTB) juga turut sama dalam  program tersebut bagi pemberigaan peralihan Analog ke Digital dan seterusnya menunjukkan cara yang betul bagi pemasangan Siaran TV Digital untuk menikmati perkhidmatan Siaran TV yang bermutu tinggi dan audio yang lebih jelas.

 

Sememangnya program yang menjurus kepada mendekati orang ramai secara bersua muka adalah masih releven dalam zaman yang canggih ini kerana ia lebih bersifat 'personal' dan interaksi yang lebih berkesan serta dapat memberikan jalinan muhibah yang baik antara warga perkhidmatan awam dan masyarakat.



Close