Manage PermissionsManage Permissions

24 orang dikurniakan Bintang-Bintang Kebesaran NBD



Oleh : Nooratini Haji Abas / Foto : Mohamad Azmi Awang Damit, Masri Osman, Ampuan Haji Mahmud Ampuan Haji Tengah, Hernie Suliana Haji Othman, Pg. Amirulnizam Pg. Hj Mohd Ali


 


 

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 15 Julai. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam  berkenan mengurniakan Bintang-Bintang Kebesaran Negara Brunei Darussalam kepada 24 orang penerima sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-72 Tahun di Balai Singgahsana Indera Buana, Istana Nurul Iman.

 

Kebawah Duli Yang Maha Mulia  mula-mula berkenan mengurniakan Darjah Paduka Keberanian Laila Terbilang Yang Amat Gemilang Darjah Pertama (D.P.K.T) yang membawa gelaran 'Dato Paduka Seri' kepada tiga penerima, iaitu Panglima Tentara Nasional Indonesia, Yang Terhormat Marsekal TNI Hadi Tjahjanto; Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral Pengiran Dato Seri Pahlawan Aminan bin Pengiran Haji Mahmud dan Ketua Turus Pertahanan, Angkatan Bersenjata Diraja Thailand, Tuan yang Terutama Jeneral Tarnchaiyan Srisuwan.

 

Istiadat diikuti dengan pengurniaan Darjah Pahlawan Negara Brunei Yang Amat Perkasa Darjah Pertama (P.S.P.N.B) yang membawa gelaran kepada 'Dato Seri Pahlawan' kepada dua penerima, iaitu Timbalan Pesuruhjaya Polis, Dato Paduka Awang Haji Mohd. Irwan bin Haji Hambali dan Pemerintah Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB), Brigadier Jeneral Awang Khairul Hamed bin Awang Haji Lampoh.

 

Kebawah DYMM seterusnya mengurniakan Darjah Setia Negara Brunei Yang Amat Bahagia Darjah Pertama (P.S.N.B) yang membawa gelaran kepada 'Dato Seri Setia' kepada lapan Menteri-Menteri Kabinet yang terdiri dari Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Paduka Dr. Awang Haji Md. Isham bin Haji Jaafar; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Yang Berhormat Dato Seri Paduka Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd. Daud; Menteri Kewangan II, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah; Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan II, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Awang Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd. Yusof; Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar; Menteri Tenaga (Energy) dan Perindustrian, Yang Berhormat Dato Paduka Dr. Awang Haji Mat Suny bin Haji Md. Hussien; Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Paduka Awang Haji Hamzah bin Haji Sulaiman dan Menteri Perhubungan, Yang Berhormat Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof.

 

Sementara itu, lima penerima dikurniakan bintang Darjah Seri Paduka Mahkota Brunei Yang Amat Mulia Darjah Pertama (S.P.M.B) yang membawa gelaran 'Dato Seri Paduka' kepada  Yang Amat Arif, Awang John Barry Mortimer (2017) dan empat Timbalan-Timbalan Menteri iaitu Timbalan Menteri Kewangan, Yang Mulia Dato Paduka Awang Ahmaddin bin Haji Abd. Rahman; Timbalan Menteri Tenaga (Energy) dan Perindustrian, Yang Mulia Dato Paduka Awang Haji Matsatejo bin Sokiaw; Timbalan Menteri di JPM, Yang Mulia Datin Dayang Hajah Elinda binti C.A. Mohamed dan Timbalan Menteri Pendidikan, Yang Mulia Datin Paduka Dr. Hajah Romaizah binti Haji Mohd. Salleh.

 

Seterusnya baginda mengurniakan Darjah Paduka Seri Laila Jasa Yang Amat Berjasa Darjah Kedua (D.S.L.J) yang membawa gelaran 'Dato Seri Laila Jasa' kepada Yang Arif Awang James Kerr Findlay (2017).

 

Pengurniaan Bintang-Bintang Kebesaran Negara Brunei Darussalam diteruskan dengan Darjah Seri Paduka Mahkota Brunei Yang Amat Mulia Darjah Kedua (D.P.M.B) yang membawa gelaran 'Dato Paduka' kepada tiga penerima, iaitu Pemangku Pengarah Perisikan Jenayah, Penolong Pesuruhjaya Polis Pengiran Haji Mohd. Jefri bin Pengiran Abdul Hamid; Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Penolong Pesuruhjaya Polis Awang Haji Mohd. Hassan bin Pehin Penyurat Haji Ahmad dan Pengiran Haji Mohd. Yussoff bin Pengiran Haji Bahar.

 

Manakala dua orang penerima lagi dikurniakan dengan bintang Kebesaran Darjah Setia Negara Brunei Yang Amat Bahagia Darjah Ketiga (S.N.B), iaitu Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Kawalan Lalu Lintas, Penguasa Kanan Polis, Awang Husaini bin Haji Matzin, dan Timbalan Jabatan Pentadbiran Am dan Kewangan, Penguasa Kanan Polis, Awang Haji Zaini bin Haji Abd. Rahim.



Close