Manage PermissionsManage Permissions

Giat laksanakan aktiviti kebajikan bersama ahli PK



Siaran Akhbar dan Foto : Pasukan Polis Diraja Brunei

 




BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 21 Januari. - Balai Polis Labi mula menggiatkan aktiviti kebajikan memotong rumput dan menebang pokok melalui Pengawasan Kejiranan (PK).

 

Sehubungan itu, seramai tiga anggota polis dari Balai Polis Labi yang diketuai oleh Sarjan 2651 Keeleh bin Bidin bersama 12 ahli PK Kampung Labi I yang diketuai oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Hanapi bin Mohd. Siput, selaku Pemangku Penghulu Mukim Labi menyertai aktiviti bekenaan.

 

Turut menyertai aktiviti berkenaan Yang Dimuliakan Pehin Datu Padukaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Shari bin Ahmad bersama Datin Hajah Azizah binti Adam.

 

Kawasan pembersihan tertumpu di sepanjang jalan kawasan KM 31, Jalan Labi, Sungai Liang bagi kemudahan para pengguna jalan raya agar tidak terhalang penglihatan dan lebih selamat digunakan.

 

Aktiviti tersebut bermula dari jam 7.00 pagi hingga jam 11.00 pagi.

 

Sementara itu, di Daerah Tutong, aktiviti memotong rumput diadakan di kawasan padang Sekolah Rendah Kampung Kiudang, Tutong.

 

Aktiviti kerjasama itu bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan silaturahim dan memberi peluang kepada orang ramai khasnya Ahli-ahli PK untuk memberi khidmat sumbangan dalam bentuk apa jua pun, malah membantu menjaga kebajikan dan keselesaan warga sekolah terutama kepada para pelajar.

 

Menyertai aktiviti tersebut Ketua Kampung Birau, Awang Haji Burhanuddin bin Haji Hashim dan Ketua Kampung Kiudang, Awang Haji Muhammad Saiful bin Abdullah berserta empat Ahli PK Mukim Kiudang yang juga disertai oleh lima anggota polis dari Balai Polis Lamunin bermula dari jam 6.30 pagi hingga 9.00 pagi.

 

Kehadiran para ketua kampung menyemarakkan lagi semangat anak buah masing-masing dalam sama-sama mengendalikan aktiviti berkebajikan itu sebagai salah satu aktiviti kesukarelawan.

 

Manakala di Daerah Brunei dan Muara pula, aktiviti kebajikan memotong rumput diadakan di kawasan Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Mentiri.

 

Gandingan dua ketua kampung yang memberi sokongan penuh, iaitu Ketua Kampung RPN Kampung Mentiri I, Pengiran Haji Aliuddin bin Pengiran Haji Damit dan Ketua Kampung RPN Kampung Mentiri II, Pengiran Haji Ibrahim bin Pengiran Haji Hidup, turut memeriahkan aktiviti berkebajikan tersebut.

 

Seramai dua Ahli Focal Point PK dari Balai Polis Muara diketuai oleh Staf Sarjan 2870 Dahlan bin Mohamed dan empat Ahli PK RPN Kampung Mentiri diketuai oleh Awang Haji Thamit bin Alias berserta beberapa Ahli MPK dan penduduk RPN Kampung Mentiri Kawasan I dan II menyertai aktiviti yang bermula dari jam 7.00 pagi hingga jam 9.30 pagi berkenaan.

 

Aktiviti itu bertujuan mendedahkan cara kehidupan masyarakat di negara ini yang masih mengekalkan amalan bergotong-royong, di samping keharmonian bermasyarakat.



Close