24 kes baharu HIV dilaporkan di NBD



Berita dan Foto : Ihsan Kementerian Kesihatan / Diterjemahkan Oleh : Hajah Musmariani Haji Mohammad


MENTERI Kesihatan, Yang Berhormat Dato Paduka Dr. Awang Haji Zulkarnain bin Haji Hanafi.


BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 1 Disember. -  Di peringkat global, jumlah penghidap baharu dijangkiti HIV ataupun mati disebabkan oleh penyakit berkaitan AIDS adalah menurun.

Program kerjasama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai HIV/AIDS (UNAIDS) menganggarkan kira-kira 36.9 juta orang dijangkiti HIV pada tahun 2014, yang mana dua juta daripadanya baru dijangkiti HIV, iaitu penurunan sebanyak 35 peratus sejak tahun 2000.

Kini, hanya sedikit kematian sahaja dicatat berkaitan dengan penyakit AIDS dan kematian disebabkan AIDS menurun sebanyak 42 peratus  dalam tempoh 10 tahun kebelakangan.

Demikian dijelaskan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Paduka Dr. Awang Haji Zulkarnain bin Haji Hanafi dalam perutusannya sempena Hari AIDS Sedunia 2015 yang disambut setiap 1 Disember.

Menurut Yang Berhormat, Negara Brunei Darussalam pada kelazimannya mempunyai kes HIV yang rendah dan beban penyakit dianggap masih di tahap rendah. Kes HIV pertama di negara ini dilaporkan pada tahun 1986 dan sejak itu, jumlah terkumpul telah direkodkan sebanyak 110 kes dalam kalangan rakyat dan penduduk tetap.

Walaupun jumlah tersebut adalah rendah jelas Yang Berhormat, kejadian kes baru telah meningkat sejak tiga tahun lepas.

Ini dapat dikaitkan dengan kesedaran yang tinggi mengenai keperluan untuk menguji jangkitan HIV dan merubah corak kehidupan dalam mencari tingkah laku dalam masyarakat, ujar Yang Berhormat.

Yang Berhormat dalam perutusannya menyatakan, dari jumlah terkumpul sebanyak 110 kes itu, 38 daripadanya merupakan kes-kes baru yang dilaporkan pada tahun 2012 hingga 2014 dan pada tahun 2015, sebanyak 24 kes baru HIV dicatatkan sehingga kini.

Serupa dengan berbagai-bagai jenis penyakit yang diperhatikan di negara-negara lain di rantau ini serta serentak dengan peningkatan jangkitan HIV baru yang diperhatikan di Negara Brunei Darussalam, jangkitan kelamin, khususnya Chlamydia dan Gonorrhoea, jelas Yang Berhormat turut meningkat sepanjang dekat yang lalu di negara ini.

Menurut Yang Berhormat, pemantauan berterusan oleh Kementerian Kesihatan menunjukkan peralihan dalam jangkitan kelamin, termasuk HIV, daripada hubungan heteroseksual kepada lain-lain tingkah laku seksual yang berisiko tinggi.

Bukti saintifik global menunjukkan bahawa jangkitan HIV dikaitkan dengan tingkah laku berisiko tinggi seperti lelaki yang melakukan seks dengan lelaki (MSM) dan transgender (TG); orang yang mempunyai berbilang pasangan seks; dan individu yang menyalahgunakan suntikan dadah dan perkongsian jarum suntikan.

Yang Berhormat berkata, kunci untuk menangani masalah jangkitan HIV di negara ini, ialah melalui penduduk yang terlibat secara aktif dalam kesihatan dan kesejahteraan mereka sendiri.

Pendidikan kesihatan tentang menghadkan faktor risiko seperti tingkah laku seksual berisiko tinggi dan pengambilan dadah secara suntikan adalah barisan pertama pertahanan terhadap jangkitan HIV.

"Dalam Islam, kepentingan berkahwin dan kehidupan berkeluarga termasuk hubungan seksual yang sihat sangat ditekankan dan adalah ideal, di mana individu perlu berusaha untuk mencapaikannya, bukan sahaja untuk rohani tetapi juga kesihatan fizikal dan kesejahteraan mereka," ujar Yang Berhormat.

Ini tambah Yang Berhormat adalah sejajar dengan aspirasi Negara Brunei Darussalam sebagai Negara Zikir menegakkan kepercayaan Ahli Sunnah Waljamaah dan tradisi toleransi, belas kasihan dan keharmonian sosial.

Dalam hubungan ini jelasnya, individu yang berisiko untuk mendapat jangkitan HIV amat digalakkan untuk hadir membuat ujian HIV. Ia merupakan rutin pemeriksaan perubatan sama dengan penyiasatan yang lain seperti peringkat kolesterol atau gula.

Di bawah Akta Penyakit Berjangkit Bab 204, sekiranya seseorang itu diuji positif HIV, status mereka akan dirahsiakan dan tidak akan didedahkan tanpa kebenaran terlebih dahulu daripada individu tersebut.

"Mereka yang hidup dengan HIV mesti menerima rawatan yang sesuai seawal mungkin dan terus disokong dalam rawatan perubatan mereka, bukan sahaja untuk membantu mereka mengelakkan komplikasi jangkitan yang teruk dan mengekalkan kualiti hidup mereka tetapi juga untuk mengurangkan ancaman jangkitan kepada orang di sekeliling mereka," terang Yang Berhormat.

Menurutnya, selain daripada tanggungjawab individu itu sendiri dan komitmen untuk menjaga kesihatan, mana-mana isu-isu kesihatan juga perlu ditangani secara meluas. Dalam hubungan ini,  Kementerian Kesihatan menghargai hubungan kerja yang kukuh dan kerjasama antara pihak berkepentingan yang berkaitan dalam mendidik orang ramai khususnya golongan belia.

Kementerian Kesihatan melalui Pusat Promosi Kesihatan (HPC) sedang bekerjasama rapat dengan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Kementerian Pendidikan, badan bukan kerajaan dan sektor swasta.

Usaha bersama tersebut ujarnya telah menyumbang kepada meningkatnya kesedaran masyarakat mengenai HIV dan AIDS.  Kerja yang berterusan juga diperlukan untuk bersama-sama menangani stigma ujian HIV dan diskriminasi terhadap individu-individu yang menghidapi HIV.

"Melalui kerjasama dalam perkongsian, kita boleh mencapai matlamat sejagat ke arah Sifar Jangkitan Baru, Sifar Diskriminasi dan Sifar Kematian Akibat AIDS. Marilah kita menjadikan kesihatan sebagai hal ehwal semua untuk memastikan negara kita bergerak ke hadapan ke arah merealisasikan Wawasan Brunei 2035 dalam mencapai kualiti kehidupan yang paling tinggi," jelas Yang Berhormat menekankan.

Terdahulu dalam perutusannya, Yang Berhormat berkata, Hari AIDS Sedunia diperingati pada 1 Disember setiap tahun bagi mengukuhkan lagi komitmen untuk mencegah dan mengawal penyebaran HIV dan AIDS. Kempen AIDS Sedunia, gabungan kumpulan dan rangkaian HIV dan AIDS antarabangsa, telah menetapkan tema berterusan 'Menuju ke Sifar' atau 'Getting to Zero' bagi tahun 2011 hingga 2015.

Bagi Negara Brunei Darussalam, ia adalah satu peluang untuk mengkaji kemajuan, mengenal pasti cabaran yang berterusan, dan menentukan hala tuju ke hadapan untuk mencapai wawasan Sifar Jangkitan Baru, Sifar Diskriminasi dan Sifar Kematian Akibat AIDS.

Semasa Hari AIDS Sedunia yang pertama pada tahun 1988, tidak ada pilihan rawatan untuk orang yang menghidap HIV, dan AIDS selalunya hampir membawa maut.

Hari ini, kemajuan dalam rawatan perubatan bermakna bahawa diagnosis HIV merupakan masalah kesihatan yang boleh dikawal.

Close