Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto : Haji Ariffin Haji Mohd. Noor / Morshidi, Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid, Hernie Suliana Haji Othman
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 8 Mac. - Keadaan penuntut dan pelajar-pelajar juga antara yang diberi perhatian oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Semasa mempengerusikan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Pandu COVID-19 di Istana Nurul Iman, hari ini, di sini, baginda bertitah memohon penjelasan daripada Jawatankuasa Pandu COVID-19 mengenai keadaan para penuntut dan pelajar pada masa ini.
"Sebelum Sidang Media pada 4 Mac 2022, mereka itu dibolehkan menjalani sesi pembelajaran seperti biasa di sekolah-sekolah. Apakah di kalangan mereka itu tiada sebarang masalah? Yang kedengaran, masalah itu memang ada, iaitu terdapat mereka yang mengetahui mereka itu positif tetapi masih hadir ke sekolah sehingga ada guru-guru turut dijangkiti.
"Jika ini senarionya, bagaimanakah pihak sekolah dapat memastikan penularan tidak berlaku di sekolah? Pada 4 Mac yang baru lalu dalam Sidang Media, Menteri Pendidikan telah menerangkan bahawa trend kehadiran golongan pelajar menghadiri pusat pengajian dan sekolah-sekolah di negara ini mengalami kemerosotan dari hari ke hari tetapi tidak menyebut mengapa kemerosotan itu berlaku.
"Menteri hanya terus mengumumkan bahawa kaedah pembelajaran secara dalam talian akan dilaksanakan selama dua minggu bermula 7 Mac 2022," tegas baginda.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam percaya bahawa kehadiran merosot tersebut adalah kerana kebimbangan ibu bapa yang tidak mahu melepaskan anak-anak mereka untuk hadir ke sekolah dengan tanggapan terdapatnya penularan COVID-19 di sekolah-sekolah.
Dalam hubungan itu, baginda bertitah agar ahli-ahli jawatankuasa dapat mengambil perhatian mengenai perkara ini.
Berhubung perkara itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam juga menimbulkan mengenai isu kluster yang mana, pada gelombang pertama sejak Mac 2020 yang lalu, jumlah kluster baharu akan dikongsi kepada orang ramai tetapi apabila kita beralih kepada Fasa Awal Endemik, ia tidak lagi dikongsikan.
"Soalnya, tidakkah ini boleh dianggap sebagai menyembunyikan maklumat, sedangkan orang ramai tetap memerlukan maklumat. Jika kluster baharu tidak perlu diketahui oleh orang ramai, tidakkah ini mungkin berisiko menyebabkan orang ramai boleh terjebak menghampiri atau memasuki tempat-tempat kluster itu. Beta minta penjelasan dari jawatankuasa ini," titah baginda.