Haji Abdul Azim raih naib juara kategori RX Borneo Pangazou 2026

26 Og 2026 - 5:11am

Berita dan Foto : Ihsan Awang Haji Abdul Azim Haji Nadzri

KOTA KINABALU, SABAH, Selasa, 25 Ogos. - Atlet Negara Brunei Darussalam dan jurulatih di Hybrid Movement, Awang Haji Abdul Azim bin Haji Nadzri, mencatatkan pencapaian membanggakan apabila meraih tempat kedua dalam kategori RX pada pertandingan Borneo Pangazou 2026 yang berlangsung dari 21 hingga 23 Ogos 2026 di Kota Kinabalu, Sabah, baru-baru ini.

Borneo Pangazou 2026 merupakan pertandingan kecergasan yang menampilkan cabaran CrossFit merangkumi beberapa aspek utama, termasuk gimnastik, kekuatan serta kecergasan dan daya tahan fizikal.

Edisi tahun ini turut mencatatkan sejarah tersendiri apabila Borneo Pangazou buat pertama kalinya dianjurkan sebagai pertandingan CrossFit berlesen, sekali gus menjadi antara platform pertandingan kecergasan yang diketengahkan di Kota Kinabalu, Sabah.

Pertandingan berkenaan menawarkan lima kategori utama, iaitu RX, Scaled, Teen, Team Masters dan Team Open, yang menghimpunkan peserta daripada pelbagai latar belakang dan tahap pengalaman dalam sukan CrossFit.

Awang Haji Abdul Azim yang bertanding dalam kategori RX, iaitu kategori kompetitif yang menampilkan cabaran pada tahap lebih tinggi, berjaya memberikan persembahan konsisten sepanjang pertandingan sebelum menamatkan saingan di kedudukan naib juara.

Pencapaian tersebut bukan sahaja mencerminkan keupayaan beliau dalam aspek kekuatan dan kecergasan, malah membuktikan ketahanan fizikal, kemahiran gimnastik serta keupayaan menyesuaikan diri dengan pelbagai cabaran sepanjang pertandingan.

Kejayaan meraih tempat kedua dalam edisi sulung Borneo Pangazou sebagai pertandingan CrossFit berlesen itu merupakan satu pencapaian membanggakan dan diharapkan dapat menjadi pembakar semangat bagi beliau untuk terus melangkah lebih jauh dalam arena CrossFit pada masa akan datang.