Tingkatkan pengetahuan, kefahaman ugama dalam kalangan kanak-kanak

31 Okt 2026 - 7:15am

Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Hal Ehwal Masjid

TUTONG, Jumaat, 30 Oktober. - Sebanyak enam pasukan yang terdiri daripada pelajar Kelas Al-Quran dan Muqaddam berumur antara 6 hingga 12 tahun dari masjid-masjid di Daerah Tutong menyertai Pertandingan Kuiz Ugama Kanak-kanak Kelas Al-Quran dan Muqaddam bertempat di Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong.

Pertandingan anjuran Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong, dengan kerjasama Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah Tutong dan Bahagian Imarah, Jabatan Hal Ehwal Masjid itu merupakan antara pengisian sempena Sambutan Jubli Intan Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong.

Pertandingan ini bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan dan kefahaman ugama dalam kalangan kanak-kanak melalui pendekatan pembelajaran yang menarik dan bersesuaian dengan peringkat umur mereka.

Soalan pertandingan merangkumi tiga bidang utama, iaitu Fiqh, Tauhid dan Sejarah Islam.

Melalui pertandingan ini, para peserta berpeluang menguji pengetahuan ugama, mengasah kemahiran berfikir, meningkatkan keyakinan diri serta memupuk semangat kerjasama dan persaingan yang sihat.

Pertandingan ini juga dihasratkan untuk menggalakkan minat kanak-kanak mempelajari ilmu ugama secara berterusan, di samping mengeratkan hubungan silaturahim antara peserta, guru pembimbing dan pihak masjid.

Hadir selaku tetamu kehormat pada pertandingan tersebut dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada pemenang ialah Pemangku Pengarah Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Haji Amir Hisham bin Haji Masri.

Pada pertandingan tersebut, Masjid Kampung  Penabai muncul johan, diikuti Masjid Kampung Bukit Udal sebagai naib johan, manakala tempat ketiga disandang oleh Masjid Kampung Bukit.

Penganjuran pertandingan seumpama ini diharap akan dapat menjadi wadah pendidikan yang bermanfaat kepada generasi muda serta memeriahkan lagi Sambutan Jubli Intan Masjid Hassanal Bolkiah Pekan Tutong melalui kegiatan keilmuan yang berteraskan ugama Islam.