Oleh : Nooratini Haji Abas
Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit
BERAKAS, Khamis, 29 Oktober. - Para penjawat awam diseru untuk sentiasa jujur dan amanah, berintegriti dan bertanggungjawab dalam melaksanakan apa jua tugasan yang diberikan. Hal ini kerana apa juga jawatan dan bidang tugas kita, setiap sumbangan tersebut mempunyai nilai kepada jabatan dan masyarakat.
Bukan itu sahaja, setiap tugasan hendaklah dilaksanakan bekerja dengan ikhlas dan konsisten. Jadikan kecemerlangan sebagai amalan harian, dan setiap cabaran sebagai peluang untuk memperbaiki diri serta mutu perkhidmatan.
Penerima Anugerah Cemerlang Perkhidmatan Awam (APCPA), Dayang Rosni binti Haji Abdullah yang bertugas sebagai Penjadual dalam Bahagian III di Pusat Kebangsaan E-Kerajaan, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dan kini ditempatkan di Universiti Brunei Darussalam berkata demikian semasa ditemu bual Pelita Brunei pada Majlis Kemuncak Sambutan Hari Perkhidmatan Awam ke-33 yang diadakan di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.
Sepanjang 28 tahun berkhidmat dalam sektor kerajaan, beliau tanggungjawab mengendalikan pengurusan penjadualan dan sistem peperiksaan, serta pentadbiran platform pembelajaran Instructure atau Canvas di UBD.
Dalam masa yang sama, Dayang Rosni turut mengutamakan ketepatan maklumat, kerahsiaan serta penyelesaian tugas mengikut masa yang ditetapkan.
“Alhamdulillah, saya amat bersyukur atas pengiktirafan ini. Saya percaya kejayaan ini turut disumbangkan atas bimbingan pihak atasan, kerjasama rakan sekerja serta sokongan keluarga. Anugerah ini menjadi dorongan untuk saya terus memberikan perkhidmatan yang lebih baik,” tambahnya lagi.
Sementara itu, seorang lagi penerima APCPA, Guru Ugama Terlatih Tingkat Khas Bahagian III, Bahagian Kenaziran Sekolah-Sekolah Ugama, Jabatan Pengajian Islam, Awang Rosli bin Othman, berazam untuk terus berbakti dan memberikan khidmat terbaik kepada pihak Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Beliau yang berkhidmat di Bahagian Kenaziran Unit Sekolah Ugama Pejabat Pengajian Islam Daerah Tutong selama 29 tahun menasihatkan agar penjawat awam untuk terus berkhidmat dengan amanah dan bertanggungjawab demi negara, agama dan bangsa. Berkhidmatlah dengan niat untuk mendapatkan pahala, rahmat dan reda daripada Allah Subhanahu Wata’ala.
Begitu juga dengan seorang lagi penerima APCPA, Dayang Haslinda binti Awang Shahrizan yang merupakan seorang Pembantu Pejabat di Bahagian V di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, menekankan kepentingan melaksanakan setiap tugasan dengan jujur, amanah dan bertanggungjawab, selain memastikan arahan yang diberikan dapat diselesaikan dengan cepat dan baik.
“Kalau saya sendiri, saya akan membuat tugasan seperti yang diarahkan secepatnya supaya ‘inda’ bertangguh lagi keesokan harinya atau menyiapkan sebelum ‘deadline’. Biasanya saya akan bertanya balik kepada pegawai atasan sekiranya saya tidak faham akan tugasan/perkara yang diarahkan,” katanya yang sudah berkhidmat selama 10 tahun.
Manakala itu, Pegawai Kajicuaca, Bahagian II, Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam, Awang Mohamad Noor'Arifin bin Awang Haji Yussof menggesa agar penjawat awam perlu sentiasa terbuka untuk menimba ilmu dan menerima pandangan daripada sesiapa sahaja, termasuk pegawai bawahan dan rakan sekerja yang lebih baharu.
Menurut beliau, setiap individu itu mempunyai pengetahuan dan pengalaman yang boleh kita pelajari. Sikap rendah hati untuk terus belajar dan memperbaiki diri amat penting dalam perkembangan kerjaya dan kecemerlangan perkhidmatan.
“Antara cabaran terbesar yang saya hadapi adalah mengurus hubungan kerja dengan individu yang mempunyai perbezaan sikap, pandangan dan pendekatan dalam melaksanakan tugas. Dalam sesebuah organisasi, perbezaan seperti ini tidak dapat dielakkan dan adakalanya boleh menjejaskan kerjasama serta keharmonian tempat kerja,” ujar beliau.
Oleh itu, bagi menghadapinya, beliau sentiasa berusaha untuk kekal tenang, bersikap profesional dan tidak membiarkan sesuatu permasalahan menjadi lebih rumit. Beliau lebih mengutamakan komunikasi secara berhemah untuk memahami punca sebenar sesuatu isu dan mencari penyelesaian yang terbaik. Sekiranya perlu, beliau mendapatkan pandangan dan nasihat daripada pihak atasan atau individu yang berkecuali (yang bersifat neutral).
Beliau juga percaya bahawa tidak semua perbezaan dapat diselesaikan sepenuhnya. Namun, perkara yang paling penting adalah untuk terus menjaga profesionalisme, saling menghormati dan memastikan tanggungjawab serta kepentingan organisasi sentiasa diutamakan.
Dari itu, Awang Mohamad Noor'Arifin menasihatkan para penjawat awam agar sentiasa bekerja bersungguh-sungguh, berani memikul tanggungjawab yang lebih besar serta mempunyai akauntabiliti terhadap setiap amanah yang diberikan. Beliau turut menggalakkan agar mereka tidak takut mencuba perkara baharu atau keluar daripada zon selesa kerana peluang sedemikian dapat membuka ruang untuk terus belajar dan mengembangkan potensi diri.
Jelasnya, kita juga perlu menerima hakikat bahawa tiada individu yang sempurna dan kesilapan merupakan sebahagian daripada proses pembelajaran. Apa yang penting adalah keberanian untuk mengakui kesilapan, mengambil pengajaran daripadanya dan berusaha agar ia tidak berulang. Laksanakanlah setiap tugas dengan penuh keikhlasan dan integriti, bukan semata-mata untuk mendapatkan pengiktirafan, tetapi demi memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat dan negara.
Bagi Dayang Juliana binti Abdullah yang telah berkhidmat selama 30 tahun dengan Jabatan Penerbangan Awam pula menyifatkan bahawa sikap jujur dan amanah dalam menjalankan tugas yang diberikan turut menyumbang kepada pembangunan negara.
Oleh itu, setiap tugasan yang diberikan hendaklah kita melaksanakan dengan baik dan sempurna. Malah, apabila kita diberikan tugasan, hendaklah dibuat dengan segera tanpa membuang masa.