Kesejahteraan pesakit sepanjang rawatan terus diberi keutamaan

31 Okt 2026 - 7:12am

Siaran Akhbar dan Foto : Jerudong Park Medical Centre

JERUDONG, Jumaat, 30 Oktober. - The Brunei Cancer Centre (TBCC), Jerudong Park Medical Centre (JPMC), memperingati Bulan Kesedaran Kanser Payudara, menerusi sebuah program yang memberi tumpuan kepada kesejahteraan emosi dan kerohanian pesakit, dengan menghimpunkan para wanita yang sedang menerima rawatan di JPMC, termasuk pesakit kanser payudara.

Program yang bertemakan ‘Bloom Through Every Season : Resilience, Hope and Everyday Strength’ berkenaan berlangsung di Perkhidmatan Pengesanan Awal dan Pencegahan Kanser (EDCPS), TBCC.

Dianjurkan dengan kerjasama Al-Riyada Consulting (ARC) melalui bahagian kandungan berteraskan keagamaan dan kemasyarakatan, The ‘Ilm Journal, program berkenaan menggabungkan sesi refleksi berpandu, aktiviti kreatif serta peluang bagi para peserta untuk berinteraksi dan mengeratkan hubungan antara satu sama lain.

Mengulas mengenai kepentingan sambutan berkenaan, Ketua EDCPS di TBCC, Datin Dr. Hajah Noraslinah binti Haji Ramlee selaku Pengerusi Jawatankuasa Penganjur berkata, pengalaman menghadapi penyakit bukan hanya terbatas kepada janji temu perubatan dan rawatan semata-mata.

Jelasnya lagi, pesakit mungkin berdepan dengan ketidakpastian, kebimbangan atau perasaan kesunyian.  Keprihatinan terhadap perkara-perkara berkenaan merupakan sebahagian penting dalam memberikan penjagaan kepada mereka.

“Melalui perhimpunan ini, kami berharap dapat mengingatkan para pesakit bahawa mereka sentiasa dihargai sebagai individu dan mempunyai komuniti yang boleh dijadikan tempat untuk mendapatkan dorongan serta sokongan,” ujarnya lagi.

Penekanan terhadap sokongan dalam kehidupan seharian berkenaan turut diketengahkan menerusi sesi ‘Strength in Small Steps’ yang dikendalikan oleh Dayang Siti Syuhaidah binti Haji Mohd. Yusoff.

Sesi yang terbuka kepada golongan wanita daripada pelbagai latar belakang dan kepercayaan berkenaan meneroka cara menghadapi ketidakpastian dalam kehidupan, di samping berkongsi pendekatan praktikal untuk memperoleh ketenangan melalui refleksi kendiri dan sokongan daripada orang lain.

Dayang Siti Syuhaidah berkata, ketabahan tidak bermakna seseorang itu perlu sentiasa berasa kuat setiap hari, kerana harapan dan kebimbangan boleh hadir secara serentak.

Tambahnya lagi, ada kalanya kekuatan itu terserlah melalui langkah kecil yang diambil, kesediaan untuk berehat atau menerima bantuan daripada orang lain.

Beliau turut berharap agar para peserta dapat membawa pulang amalan atau peringatan ringkas yang mampu memberi ketenangan ketika berhadapan dengan hari-hari yang mencabar.

Selain sesi refleksi, para peserta turut menyertai aktiviti santai pengenalan diri ‘Pass the Smile’ dan ‘Petal of Feelings’, iaitu aktiviti menghias kelopak bunga secara individu sebelum digabungkan menjadi sekuntum bunga yang dikongsi bersama.

Program berkenaan diakhiri dengan aktiviti ‘A Moment to Reset’, iaitu latihan menenangkan diri secara ringkas sebagai penutup kepada sesi pagi berkenaan.

Penyertaan dan perkongsian sepanjang program adalah secara sukarela bagi memberi ruang kepada setiap peserta untuk melibatkan diri mengikut keselesaan masing-masing.

Penganjuran program berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha TBCC sempena memperingati Bulan Kesedaran Kanser Payudara, sekali gus mengiktiraf kepentingan menjaga kesejahteraan pesakit sepanjang mereka menjalani rawatan.