Kebajikan, kesejahteraan mangsa bencana terus diberi perhatian

25 Sep 2026 - 6:32am

Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 24 September. - Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), telah menyalurkan bantuan kewangan berjumlah keseluruhan BND86,300 kepada 96 orang ketua keluarga.

Majlis berlangsung di Dewan Kuliah, Stadium Negara Hassanal Bolkiah.

Daripada jumlah keseluruhan ketua keluarga yang menerima bantuan kewangan hari ini, seramai 78 ketua keluarga adalah mangsa yang terlibat dalam kejadian banjir, 10 ketua keluarga adalah mangsa kebakaran, empat ketua keluarga mangsa kejadian rumah roboh dan tidak selamat didiami dan empat ketua keluarga mangsa kejadian angin kencang yang mengakibatkan kerosakan bumbung rumah.

Sementara itu, sebagai sokongan tambahan dua ketua keluarga yang terjejas akibat kejadian kebakaran turut menerima bantuan catuan makanan. Kesemua mangsa dan penghuni rumah yang terlibat dalam kejadian bencana berkenaan dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Pemberian bantuan kewangan berkenaan bertujuan untuk meringankan beban dan kesusahan yang ditanggung oleh mangsa-mangsa bencana serta membantu menjaga kebajikan dan kesejahteraan mereka sekeluarga.

Usaha berkenaan mencerminkan keprihatinan dan pemedulian pihak kerajaan terhadap rakyat dan penduduk yang mengalami musibah.

Hadir bagi menyampaikan bantuan kewangan kepada mangsa-mangsa bencana, Setiausaha Tetap, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman.

Turut hadir, Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan), KKBS, Dr. Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah, serta pegawai-pegawai dari KKBS.