Ceramah Motivasi hadapi Peperiksaan SSSRU

1 Nov 2026 - 6:04am

Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Hal Ehwal Ugama

KILANAS, Sabtu, 31 Oktober. - Bagi memohon inayah dan keberkatan daripada Allah Subhanahu Wata'ala, di samping membuat persediaan menghadapi Peperiksaan Sijil Sekolah-Sekolah Rendah Ugama (SSSRU) pada November depan, Jawatankuasa Pemimpin Sekolah-Sekolah Ugama (JKPSSU) Kawasan Brunei IV mengadakan Majlis Sembahyang Sunat Hajat, Bacaan Surah Yaa Siin dan Ceramah Motivasi bagi calon-calon yang akan menduduki Peperiksaan SSSRU.

Majlis tersebut diadakan di Masjid Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit, Mukim Kilanas dan hadir selaku tetamu khas majlis ialah Pegawai Pengajian Islam Daerah Kawasan Brunei IV, Bahagian Sekolah Ugama, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Dayang Hajah Mu'izzah binti Kefli.

Majlis yang turut dihadiri oleh ibu bapa dan penjaga murid-murid Darjah VI sekolah-sekolah ugama Kawasan Brunei IV itu dimulakan dengan Sembahyang Sunat Hajat secara berjemaah yang diimamkan oleh Awang Adee Aiman bin Haji Muhidin, diikuti dengan bacaan Surah Yaa Siin dan doa.

Majlis diteruskan dengan Ceramah Motivasi yang disampaikan oleh Ketua Bahagian Imarah, Jabatan Hal Ehwal Masjid, KHEU, Awang Haji Fansuri Sharimi @Haji Mansur bin Mohamad Ali.

Majlis berkenaan bertujuan memohon doa ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala agar para murid dimudahkan dalam menghadapi peperiksaan yang bakal tiba serta dikurniakan kejayaan yang cemerlang. Peperiksaan Bertulis Peperiksaan SSSRU bagi murid-murid Darjah VI seluruh negara dijadualkan akan bermula pada 9 hingga 23 November ini.