SAN JOSE (California), 26 Ogos. - Syarikat angkasa lepas milik Elon Musk, SpaceX merancang membina pelabuhan angkasa baharu di negeri Louisiana, Amerika Syarikat (AS), dengan pelaburan kira-kira US$100 bilion, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa) memetik syarikat itu dan pegawai negeri pada Selasa.
Kemudahan di Vermilion Parish, di pesisir Teluk itu dijangka menjadi tapak pelancaran terbesar SpaceX dan yang terbesar di dunia, menurut agensi pembangunan ekonomi Louisiana. Tapak itu juga dijangka mempunyai lima kompleks pelancaran, masing-masing dilengkapi dua pad pelancaran.
“Starbase, Louisiana akan dibina bagi menyokong ribuan penerbangan Starship setahun,” menurut SpaceX, sambil menambah bahawa tapak itu akan membantu memacu perkembangan perjalanan angkasa komersial.
Pembinaan dijadual bermula pada 2027, dengan roket Starship pertama berpotensi dilancarkan dari tapak itu pada 2029. Roket gergasi Starship masih menjalani penerbangan ujian. SpaceX kini mengendalikan kemudahan pelancaran Starship di negeri Texas.
SpaceX berkata matlamat jangka panjangnya adalah untuk membolehkan perjalanan berkala ke bulan dan Marikh menggunakan roket yang boleh digunakan semula sepenuhnya, sebelum mewujudkan kehadiran manusia secara kekal di luar Bumi. - ©BERNAMA