Rybakina tumbangkan Sabalenka, raih gelaran pertama terbuka AS

13 Sep 2026 - 8:54pm

NEW YORK, 13 Sept. - Elena Rybakina membuktikan dirinya sebagai pemain nombor satu dunia selepas meraih gelaran Terbuka Amerika Syarikat (AS) pertamanya, lapor PA Media/DPA.

Pemain Kazakhstan berusia 27 tahun itu sudah mengetahui bahawa beliau akan menduduki tangga teratas ranking dunia mulai Isnin, mengatasi lawannya Aryna Sabalenka, tanpa mengira keputusan perlawanan akhir pada Sabtu.

Kekalahan sudah tentu akan mencacatkan pencapaian itu, namun sebaliknya beliau dinobatkan sebagai juara baharu di Queens selepas menewaskan Sabalenka 6-4, 5-7, 6-2 di Flushing Meadows.

Juara bertahan dua kali Sabalenka memburu gelaran ketiga berturut-turut di New York, yang akan menjadikannya hanya pemain wanita ketiga mencapai kejayaan itu dalam era Terbuka selepas Chris Evert dan Serena Williams.

Sebaliknya, Sabalenka hanya mampu terduduk di kerusinya sambil menghentak raketnya dengan marah sehingga berkecai, ketika Rybakina meraikan gelaran Grand Slam ketiganya. - ©BERNAMA