Risiko El Nino, Panama isytihar darurat kebangsaan

26 Og 2026 - 10:02am

PANAMA CITY, 26 Ogos. - Kerajaan Panama pada Selasa mengisytiharkan darurat di seluruh negara susulan kesan iklim akibat fenomena El Nino, termasuk risiko kemarau, banjir serta kemungkinan gangguan terhadap perkapalan di Terusan Panama, sektor pertanian dan bekalan tenaga, lapor Xinhua.

Dalam satu kenyataan, kerajaan memaklumkan bahawa Institut Meteorologi dan Hidrologi Panama (IMHPA) meramalkan fenomena El Nino akan bertambah kuat bermula Oktober tahun ini hingga Mac 2027 iaitu taburan hujan di bawah paras purata dijangkakan di beberapa kawasan dan kesannya berkemungkinan berlarutan hingga bulan Mei.

Suhu tinggi dan pengurangan taburan hujan boleh memberikan tekanan kepada sumber air serta menjejaskan pengeluaran pertanian, menurut kenyataan itu.

Kerajaan memberi amaran, kemarau boleh menyebabkan penurunan paras air di sungai, tasik dan takungan, sekali gus berpotensi mengancam laluan kapal melalui Terusan Panama serta bekalan air yang diperlukan untuk operasi terusan tersebut. Penjanaan kuasa hidroelektrik juga mungkin terjejas.

Pengarah IMHPA Luz Graciela de Calzadilla berkata 11 lembangan sungai di Panama kini mengalami tekanan sumber air, dengan paras sungai yang rendah menyukarkan loji kuasa hidroelektrik dan fasiliti rawatan air minum.

Ketua Pengarah Sistem Perlindungan Awam Kebangsaan Panama Omar Smith berkata fenomena El Nino telah menjejaskan lebih 10,000 penduduk di seluruh negara sejak Januari tahun ini.

Menurut kerajaan, pengisytiharan darurat itu bertujuan memperkukuh keupayaan agensi kerajaan dalam menangani cuaca ekstrem serta membuat persediaan menghadapi risiko, termasuk banjir dan tanah runtuh dan kemarau. - ©BERNAMA