Republik Indonesia kenakan sekatan terhadap 6 syarikat susulan kebakaran hutan Kalimantan

25 Og 2026 - 9:56am


JAKARTA, 25 Ogos. - Republik 
Indonesia mengenakan sekatan 
pentadbiran terhadap enam 
pemegang konsesi perhutanan 
selepas siasatan mendapati 
kebakaran telah memusnahkan 
lebih 1,500 hektar tanah di bawah 
pengurusan mereka di seluruh 
Kalimantan, ketika pihak berkuasa 
mempergiat usaha menangani 
kebakaran hutan dan tanah di 
pulau itu.

Pengarah Pengawasan, 
Pengenaan Sekatan Pentadbiran 
dan Hal Ehwal Sivil Perhutanan 
Kementerian Kehutanan Ardi 
Risman berkata tindakan itu 
melibatkan empat syarikat -- PT 
WEL, PT FI, PT MPK dan PT WSP 
-- yang beroperasi di Kalimantan 
Barat, PT NES di Kalimantan 
Tengah dan PT PSR di Kalimantan 
Timur.

"Tindakan penguatkuasaan 
kerajaan dikenakan terhadap 
syarikat berkenaan bagi 
memastikan mereka memenuhi 
kewajipan yang ditetapkan, 
daripada menambah baik sistem 
kawalan kebakaran hingga 
memulihkan kawasan terjejas 
dalam tempoh yang ditetapkan," 
katanya menurut Agensi Berita 
Antara pada Selasa.

Beliau berkata lesen perniagaan 
sebuah syarikat di Kalimantan 
Barat turut digantung kerana 
kebakaran di kawasan konsesinya 
berlaku secara meluas dan 
berulang, manakala kegagalan 
mematuhi tindakan yang 
ditetapkan boleh menyebabkan 
sekatan lebih tegas dikenakan, 
termasuk pembatalan lesen.

Kementerian Kehutanan dalam 
hantaran terbaharu di media sosial 
memaklumkan pemantauan satelit 
setakat 9 malam Isnin mengesan 
341 titik panas berkeyakinan tinggi 
di empat wilayah Kalimantan, 
terdiri daripada 129 di Kalimantan 
Barat, 107 di Kalimantan Timur, 
85 di Kalimantan Tengah dan 20 di 
Kalimantan Selatan.

Kementerian itu memaklumkan 
641 lagi titik panas berkeyakinan 
sederhana direkodkan di 
Kalimantan Barat, Tengah dan 
Selatan, dengan Kalimantan Barat 
mencatatkan 315, Kalimantan 
Tengah 219 dan Kalimantan 
Selatan 107.

Pihak berkuasa Republik 
Indonesia turut membenarkan 
pengerahan 36 helikopter yang 
berdaftar di luar negara dan 
pengeluaran 35 permit khas 
kepada 11 pengendali udara 
domestik bagi operasi 
pemadaman kebakaran dari udara 
untuk mengawal kebakaran 
berkenaan.

Dalam perkembangan 
berasingan, agensi berita itu pada 
Isnin melaporkan Kementerian 
Alam Sekitar sedang mengambil 
tindakan undang-undang terhadap 
kira-kira 30 syarikat di seluruh 
negara berhubung kebakaran 
hutan dan tanah tahun ini, dengan 
tuntutan hampir Rp15 trilion 
(kira-kira RM3.42 bilion) bagi 
kerugian negara dan kos 
pemulihan alam sekitar. 
- ©BERNAMA