LAMITAN CITY (Republik Filipina), 14 Sept. - Polis dan tentera Republik Filipina menggagalkan cubaan pengeboman selepas menemukan alat letupan buatan sendiri (IED) awal Isnin, beberapa jam sebelum pusat mengundi dibuka bagi Pilihan Raya Parlimen Bangsamoro (BPE), menurut polis.
IED itu ditemukan kira-kira 1.15 pagi dalam operasi berasaskan risikan di Barangay Balobo di bandar ini yang dijalankan oleh Balai Polis Lamitan City (LCPS) bersama unit polis lain serta Kompeni Peninjau Divisyen Ke-112 Tentera Darat, lapor Agensi Berita Filipina (PNA).
Polis memaklumkan anggota Unit Pemusnah Bahan Letupan dan Anjing Pengesan Wilayah berjaya memusnahkan alat berkenaan dengan selamat menerusi letupan terkawal kira-kira 3.30 pagi.
Menurut polis, IED itu terdiri daripada detonator elektronik, kira-kira satu batang trinitrotoluena (TNT), papan kekunci telefon bimbit, terminal bateri sembilan volt, paku konkrit tiga inci, bekas plastik dan beberapa wayar. "IED itu dimusnahkan menerusi letupan terkawal selepas ditemukan," menurut LCPS dalam laporannya pada Isnin.
Penyiasat LCPS mendokumentasikan lokasi kejadian dan menyerahkan bahan bukti yang ditemukan kepada unit forensik polis untuk analisis kimia. LCPS mengendalikan siasatan kes itu dan pihak berkuasa dijangka mengeluarkan perkembangan lanjut dari semasa ke semasa.
Suruhanjaya Pilihan Raya memaklumkan seramai 248,244 pengundi berdaftar dijangka menunaikan tanggungjawab mereka di wilayah itu. Bandar ini mempunyai jumlah pengundi tertinggi dalam kalangan kawasan yang terbabit dalam pilihan raya parlimen berkenaan, dengan 56,042 pengundi berdaftar.
Sementara itu, Uskup Basilan Leo Dalmao berkata keamanan yang dicapai dengan susah payah di wilayah itu seharusnya membuka jalan kepada pilihan raya yang aman, teratur dan jujur.
Dalmao berkata suasana relatif aman yang dinikmati Basilan sejak beberapa tahun kebelakangan ini memberi peluang kepada wilayah itu untuk menunjukkan kepada rantau Bangsamoro hasil yang boleh dicapai melalui keamanan berterusan.
"Kami berdoa agar kemajuan keamanan yang dicapai sejak beberapa tahun lalu turut membuahkan hasil dalam bentuk pilihan raya yang teratur, aman dan jujur," katanya kepada pemberita.
Basilan sejak sekian lama dikaitkan dengan konflik bersenjata dan keganasan, namun Dalmao berkata wilayah itu perlu terus membina kemajuan yang dicapai sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Beliau berharap pilihan raya itu akan melahirkan "pemimpin yang lebih baik dan berwibawa" untuk Basilan serta rantau Bangsamoro.
Gabenor Mujiv Hataman pula merayu supaya BPE berlangsung secara aman dan berwibawa, selain menggesa parti politik berlaku adil serta membenarkan pengundi menunaikan tanggungjawab mereka dengan bebas. - ©BERNAMA