Laluan transit sementara Hormuz dengan Oman selebar 7 batu

26 Og 2026 - 9:58am

WASHINGTON, 26 Ogos. - Iran dan Oman mencapai persetujuan mengenai laluan transit sementara selebar tujuh batu di Selat Hormuz, menurut Timbalan Menteri Luar Iran Kazem Gharibabadi pada Selasa, lapor Anadolu Ajansi.

Beliau menegaskan bahawa aturan itu tidak bermaksud laluan perairan strategik berkenaan dibuka semula. Dalam temu bual dengan televisyen Iran, Gharibabadi berkata laluan yang dipersetujui itu akan melalui perairan wilayah Iran ketika masuk, manakala sebahagian laluan keluar turut melalui perairan Iran.

“Lebar laluan transit yang dipersetujui dengan Oman di Selat Hormuz ialah tujuh batu,” kata Gharibabadi sambil menyifatkan laluan itu sebagai aturan sementara.

Beliau berkata Iran dan Oman akan mengadakan rundingan lanjut yang dijangka berlangsung antara 30 hingga 60 hari bagi menentukan laluan kekal serta aturan masa depan untuk menguruskan pergerakan melalui selat itu.

“Selat Hormuz ditutup dan kami mempunyai kawalan penuh ke atasnya,” kata beliau sambil menolak dakwaan bahawa kapal sudah melalui laluan perairan itu.

Menurut Gharibabadi, pengaktifan laluan bersama yang dipersetujui dengan Oman juga akan membawa kepada penutupan laluan selatan. Beliau berkata kedua-dua negara bersetuju memulakan rundingan teknikal mengenai laluan alternatif kepada laluan yang digunakan sebelum ini.

Gharibabadi berkata Iran menganggap selat itu sebagai perkara berkaitan keselamatan negara dan mempunyai hak untuk mengambil langkah yang dianggap perlu bagi melindungi kepentingannya.

Beliau turut menegaskan bahawa Iran tidak mempercayai Washington dan AS perlu terlebih dahulu melaksanakan komitmennya di bawah Memorandum Persefahaman Islamabad sebelum proses diplomatik dapat disambung semula.

“Sebelum sebarang tindakan untuk membuka semula Selat Hormuz, AS mesti melaksanakan sepenuhnya semua komitmennya yang telah dilanggar. 

“Pembukaan semula Selat Hormuz hanya akan berlaku sebagai pertukaran bagi penamatan perang di semua medan, penarikan sekatan dan penyelesaian status Yaman,” kata beliau. - ©BERNAMA