Konvensyen Laos uji larangan global bom berangkai

13 Sep 2026 - 9:00pm

PHNOM PENH, 13 Sept. - Usaha global untuk menghapuskan sisa bom berangkai bakal menjadi tumpuan apabila masyarakat antarabangsa berhimpun di Laos minggu ini, di tengah-tengah kebimbangan berterusan mengenai korban orang awam akibat senjata itu.

Persidangan Kajian Semula Ketiga Konvensyen Mengenai Bom Berangkai akan berlangsung di Vientiane, ibu negara Laos, dari 14 hingga 18 Sept.

Dua laporan utama antarabangsa yang dikeluarkan menjelang persidangan itu mengetengahkan skala ancaman serta kesan berterusan bom berangkai terhadap manusia di seluruh dunia.

Laporan Cluster Munition Monitor 2026 yang dikeluarkan pada 8 Sept memaklumkan sekurang-kurangnya 1,063 orang terkorban atau cedera akibat bom berangkai tahun lepas, antara jumlah tahunan tertinggi direkodkan sejak pemantauan bermula pada 2008.

Laporan yang disusun Cluster Munition Coalition yang berpangkalan di Switzerland itu memaklumkan orang awam merangkumi 87 peratus daripada korban yang dilaporkan.

“Bom berangkai terus membunuh, mencacatkan dan mencederakan orang awam, termasuk kanak-kanak,” kata Profesor Pengajian Keselamatan di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam, Universiti Teknologi Nanyang Singapura, Dr Rohan Gunaratna kepada Bernama.

Laporan terbaharu itu mengetengahkan serangan bom berangkai atau sisa senjata berkenaan di sembilan negara di Asia Selatan, Asia Tenggara, Asia Barat dan Eropah.

Mengenai masa depan larangan global terhadap bom berangkai, Rohan berkata mesej tegas perlu disampaikan bahawa norma global menentang senjata yang tidak membezakan sasaran itu tidak boleh dirunding dan memerlukan sokongan kewangan serta politik yang diperbaharui.

Sementara itu, laporan Clearing Cluster Munition Remnants 2026 oleh Mine Action Review turut mengetengahkan skala cabaran dalam usaha membersihkan sisa bom berangkai.

Pada 2025, negara-negara pihak memusnahkan 64,898 sisa bom berangkai, dengan Laos, antara negara paling tercemar dengan senjata itu di dunia, membersihkan 55,808 daripadanya.

Laporan berkenaan memaklumkan bahan letupan yang tertanam itu terus menjadi ancaman kepada masyarakat luar bandar, mata pencarian dan kanak-kanak, yang kebanyakannya terdedah kepada sisa bahan letupan yang belum meletup di kawasan pertanian dan lokasi kegiatan harian.

“Negara anggota perlu mengecam sekeras-kerasnya sebarang pengeluaran, pemindahan dan penggunaan bom berangkai yang masih berterusan oleh mana-mana pihak, sambil menegaskan bahawa tindakan menyasarkan orang awam dengan senjata ini melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa,” kata Rohan.

Beliau berkata mesyuarat di Laos itu juga perlu menyokong Pelan Tindakan Ibu Kota Vientiane 2027-2031, dengan penanda aras yang jelas dan boleh dipertanggungjawabkan bagi tempoh lima tahun akan datang.

Felo Kanan dan Editor Vivekananda International Foundation di New Delhi, Brigedier (Bersara) Vinod Anand berkata bahan letupan yang belum meletup (UXO) dan periuk api kekal sebagai ancaman daripada peperangan lampau yang belum dapat diselesaikan dan terus menghantui negara serta masyarakat lama selepas pertempuran berakhir.

“Ini merupakan masalah di Asia Tenggara dan bahagian lain di dunia. Negara yang terjejas akibat peperangan lampau memerlukan sumber yang besar dan teknologi moden untuk menangani ancaman ini serta mengurangkan korban orang awam. Bahan letupan yang tertanam di bawah tanah sukar dikesan,” katanya kepada Bernama.

Menurut Program Bahan Letupan Belum Meletup Kebangsaan Laos (UXO Lao), lebih dua juta tan bahan letupan digugurkan di Laos antara 1964 hingga 1973 ketika Perang Saudara Laos.

Pengeboman itu termasuk lebih 270 juta bom kecil daripada bom berangkai. Dianggarkan 30 peratus daripadanya gagal meletup dan terus mengancam masyarakat luar bandar sehingga kini.

Lebih 50,000 orang terkorban atau cedera akibat UXO di Laos antara 1964 hingga 2008, dengan kira-kira 20,000 korban dicatatkan dalam tempoh pascakonflik, menurut data kerajaan Laos.

Di seluruh dunia, kerajaan dan organisasi tindakan periuk api giat membersihkan sisa tersembunyi daripada konflik lampau sebelum lebih banyak nyawa terkorban.

Di Afghanistan, Direktorat Penyelarasan Tindakan Periuk Api memaklumkan 217 insiden berkaitan pencemaran senjata berlaku tahun lepas, mengakibatkan 92 orang terkorban dan 375 cedera. Kanak-kanak merangkumi 309 daripada keseluruhan 467 korban. - ©BERNAMA