Kanada tolak perjanjian perdagangan AS

24 Og 2026 - 12:45pm

ISTANBUL, 24 Ogos. - Kanada menolak cadangan perjanjian perdagangan dengan Amerika Syarikat (AS) susulan beberapa tuntutan pada saat akhir daripada Washington yang disifatkan pegawai sebagai berat sebelah, lapor Anadolu Ajansi memetik akhbar Kanada The Globe and Mail.

"Perubahan pada saat akhir terhadap syarat yang dicadangkan AS adalah tidak adil, tidak menguntungkan dan menimbulkan persoalan mengenai kebolehpercayaan sebarang perjanjian," kata Perdana Menteri Kanada Mark Carney selepas beliau menggantung rundingan perdagangan dengan Washington.

Beliau menegaskan bahawa rangka kerja yang dicadangkan itu gagal melindungi kepentingan negara, sekali gus mendorong Kanada berikrar mengenakan tarif balas dengan nilai yang sama mulai 8 September.

The Globe and Mail yang memetik sumber tidak dinamakan melaporkan wujud perbezaan ketara mengenai halangan perdagangan mengikut sektor, dengan AS mahu mengenakan kuota empat juta tan ke atas eksport keluli Kanada berserta tarif 25 peratus, yang akan digandakan bagi jumlah melebihi kuota.

Dalam sektor automotif, perunding AS dilaporkan mahu hanya kandungan buatan Amerika dikecualikan daripada duti, selain menuntut Kanada menarik balik semua tindakan balas terhadap keluli dan kenderaan AS.

AS turut mendesak kerajaan wilayah di Kanada supaya menghentikan larangan balas terhadap produk alkohol Amerika.

Perunding AS juga tidak mahu sektor perhutanan dimasukkan dalam perjanjian itu, walaupun Kanada bertegas sektor berkenaan perlu menjadi sebahagian daripada perjanjian.

Washington turut menyasarkan dasar domestik Kanada dengan menuntut rombakan terhadap sistem pelesenan pengurusan bekalan tenusu serta penghentian amalan perolehan "Buy Canadian" oleh kerajaan wilayah.

Di Quebec, Premier Christine Frechette berkata pegawai AS turut mendesak konsesi berkaitan undang-undang kebudayaan bahasa Perancis dan manual arahan peralatan.

Perjanjian yang gagal dimuktamadkan itu turut cuba menggabungkan isu perdagangan dengan keselamatan negara, termasuk pembelian jet pejuang F-35 oleh Kanada dan sistem pertahanan peluru berpandu "Golden Dome". Perunding AS juga mahu peraturan lebih ketat terhadap eksport minyak serta penyelarasan dalam sektor mineral kritikal.

Wakil Perdagangan AS Jamieson Greer menuduh Ottawa mengubah keseimbangan rundingan menerusi tindakan menarik balik pendirian yang telah dibuat sebelum ini. Sebelum ini, Carney menuduh AS menggunakan tarif baharu untuk "memudaratkan dan memecahbelahkan" Kanada, sambil menyifatkan langkah itu sebagai "perkiraan salah".

Presiden AS Donald Trump pada Ahad menerusi platform media sosial Truth Social berkata Kanada "mahukan manfaat seperti sebuah negeri, tanpa menjadi sebuah negeri". - ©BERNAMA