Insiden tembakan dekat pusat mengundi Bangsamoro ragut 3 nyawa

14 Sep 2026 - 9:41am

COTABATO CITY (Republik Filipina), 14 Sept. - Tiga orang maut dan 15 lagi cedera dalam kejadian tembak-menembak berhampiran sebuah pusat mengundi di sini pada lewat malam Ahad, beberapa jam sebelum Pilihan Raya Parlimen Bangsamoro (BPE) berlangsung pada Isnin.

Kejadian berlaku di hadapan Sekolah Rendah Datu Usman Mampen, lapor Agensi Berita Filipina (PNA) memetik jurucakap Pejabat Polis Wilayah Bangsamoro, Kapten Steffi Salanguit.

"Sebelum kejadian tembakan itu, dua letupan menggegarkan bandar raya pada malam Ahad sehingga menyebabkan seorang cedera parah," kata Salanguit dalam satu kenyataan pada Isnin.

Siasatan awal polis mendapati mangsa yang dikenal pasti sebagai Zainudin Macabuat membawa bahan letupan yang meletup lebih awal daripada sepatutnya pada 8 malam berhampiran sebuah sekolah di Barangay Mother Kalanganan, Cotabato City.

Satu lagi letupan berlaku di Barangay Rosary Heights 10 pada 9 malam, namun tiada kecederaan dilaporkan.

Pada 5 petang, satu insiden tembakan rambang turut berlaku di kampung yang sama, namun tiada mangsa dilaporkan cedera.

Mengenai kejadian tembak-menembak di Barangay Bagua 2, Salanguit berkata identiti mangsa yang maut dan cedera masih belum dikenal pasti.

"Siasatan awal mendapati dua kumpulan berkumpul di hadapan sekolah sebelum berlaku pertengkaran. Kedua-dua kumpulan merupakan penyokong parti politik," katanya.

Polis masih menyiasat punca kejadian tembakan itu serta mengenal pasti pihak yang terlibat.

Polis turut menemukan kelongsong peluru kosong bagi pistol berkaliber .45 dan 9mm di lokasi kejadian.

Pasukan polis dan tentera kekal bersiap siaga menjelang pilihan raya BARMM pada Isnin. - ©BERNAMA