TASHKENT, 26 Ogos. - Teknologi Kecerdasan Buatan (AI) wajar dimanfaatkan sebagai alat yang berkesan untuk mempromosikan tamadun dan warisan Islam, termasuk sumbangan tokoh ilmuwan Islam kepada generasi muda, menurut pakar media Uzbekistan.
Rektor Universiti Kewartawanan dan Komunikasi Massa Uzbekistan Sherzodkhan Kudratkhoja berkata pengamal media termasuk wartawan, penyiar dan pembikin filem boleh menghasilkan kandungan yang lebih kreatif, menarik dan moden bagi mempromosikan tamadun serta sejarah Islam secara berkesan, khususnya kepada golongan muda yang memperoleh maklumat melalui media sosial dan platform digital berformat pendek.
Beliau berkata pendekatan itu akan memastikan legasi tamadun Islam kekal relevan dan mudah diakses oleh generasi akan datang.
“Kami mendapati generasi muda, khususnya Generasi Alpha dan Beta, lebih gemar menonton kandungan digital berformat pendek menerusi platform seperti Instagram, TikTok dan YouTube berbanding format tradisional seperti buku, akhbar, dokumentari atau filem berdurasi panjang.
“Sehubungan itu, kandungan berkaitan sejarah dan tamadun Islam perlu disesuaikan dengan pendekatan moden ini agar selari dengan tabiat tontonan dan minat mereka,” katanya pada sesi Forum Media Antarabangsa ‘Tamadun Islam: Perspektif Baharu – Penemuan Baharu’ di Pusat Tamadun Islam di sini.
Sherzodkhan berkata AI tidak seharusnya dilihat sebagai ancaman kepada industri media, sebaliknya sebagai teknologi berguna dan berkeupayaan tinggi yang boleh meningkatkan kreativiti, kecekapan serta menyokong penghasilan kandungan berkualiti termasuk filem pendek dan bahan pendidikan digital.
Sementara itu, pakar Universiti Bahasa-Bahasa Dunia Negeri Uzbekistan Beruniy Alimov berkata Pusat Tamadun Islam Uzbekistan telah menggunakan kaedah penyampaian maklumat yang moden dan interaktif menerusi teknologi AI. Beliau berkata pendekatan itu wajar dijadikan contoh oleh pusat atau muzium Islam lain di seluruh dunia.
“Sebagai contoh, maklumat mengenai ilmuwan Islam tersohor seperti al-Khwarizmi. Pengunjung pusat pendidikan Islam itu boleh berinteraksi secara ‘maya’ seolah-olah mereka sedang berbicara dengan ilmuwan berkenaan.
“Melalui AI, pengunjung muda boleh bertanyakan soalan mengenai pencapaian dan sumbangannya. Kaedah ini menjadikan pembelajaran lebih menarik dan memberi impak kepada golongan muda,” kata beliau di luar forum berkenaan.
Beliau turut menyifatkan forum media antarabangsa itu sebagai platform penting untuk meningkatkan kesedaran masyarakat dunia mengenai Uzbekistan dan kekayaan warisan sejarah negara itu.
Menghimpunkan lebih 300 pengamal media dan pakar dari 50 negara, forum anjuran Pusat Tamadun Islam yang berlangsung dari 24 hingga 28 Ogos itu turut diadakan bersempena ulang tahun ke-35 kemerdekaan Uzbekistan. - ©BERNAMA