PHNOM PENH, 26 Ogos. - Banjir Sungai Mekong telah menjejaskan 13,688 keluarga di empat wilayah di Kemboja, menyebabkan 1,551 keluarga terpaksa dipindahkan ke kawasan lebih tinggi, menurut jurucakap pengurusan bencana pada Selasa.
Jurucakap Jawatankuasa Kebangsaan bagi Pengurusan Bencana (NCDM), Soth Kim Kolmony, berkata wilayah Kratie, Tboung Khmum, Stung Treng dan Kampong Cham telah berdepan banjir teruk sejak Jumaat lalu, susulan kesan daripada Taufan Saudel.
"Daripada jumlah tersebut, Kratie dan Tboung Khmum merupakan kawasan yang paling teruk terjejas, masing-masing melibatkan 7,934 dan 3,951 keluarga," kata Kolmony.
Beliau berkata peningkatan paras air telah menenggelami lebih 9,000 buah rumah serta membanjiri lebih 4,000 hektar sawah padi. Tiada kematian atau kecederaan dilaporkan.
Kemboja sering mengalami banjir kilat Sungai Mekong antara Julai dan Oktober. Data NCDM menunjukkan bahawa 19 orang terkorban akibat banjir pada tahun lalu. - ©XINHUA