BOGOTA, 14 Sept. - Lima orang dilaporkan hilang selepas sebuah pesawat ringan terputus hubungan di barat laut Colombia, menurut Pihak Berkuasa Penerbangan Awam negara itu pada Ahad, lapor Xinhua.
Pesawat berkenaan berlepas dari Lapangan Terbang Mandinga di Condoto, dalam wilayah Choco menuju ke Lapangan Terbang Guaymaral di Bogota, ibu negara Colombia. Menurut kenyataan pihak berkuasa, komunikasi terakhir dengan pesawat itu direkodkan pada 9.23 pagi waktu tempatan.
Suar pengesan kecemasan pesawat kemudiannya diaktifkan berhampiran Cerro Tatama, kira-kira 33 batu nautika dari suar navigasi VOR Pereira. Pihak berkuasa berkata operasi pencarian terjejas berikutan kesukaran untuk memasuki kawasan berkenaan. - ©BERNAMA