ATHENS, 24 Ogos. - Pertempuran antara polis dan migran di sebuah pusat tahanan tertutup di utara Republik Hellenic Greece menyebabkan lima orang cedera dan 17 ditahan, menurut pihak berkuasa pada Ahad, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).
Penyiar awam ERTNews memetik pegawai keselamatan sebagai berkata rusuhan tercetus pada malam Sabtu di pusat tahanan yang menempatkan kira-kira 500 migran, dengan majoritinya dijadual dihantar pulang.
Sekumpulan migran dilaporkan merobohkan sebahagian pagar perimeter dalaman sebelum membaling batu dan objek lain ke arah anggota polis yang ditempatkan di lokasi.
Rusuhan itu turut menyebabkan kerosakan pada bangunan, kawasan kemudahan bersama, kamera pengawasan dan kemudahan lain.
Beberapa migran berjaya memotong sebahagian pagar dawai luar dan melarikan diri dari pusat tahanan berkenaan yang terletak berhampiran sempadan Bulgaria, menurut pihak berkuasa.
Tiga individu ditahan di lokasi, manakala 14 lagi ditemukan di kawasan sekitar tidak lama kemudian dan ditangkap.
Lima orang yang cedera dalam pertempuran itu dibawa ke hospital untuk pemeriksaan, manakala kesemua 17 individu yang ditahan akan dirujuk kepada pendakwa raya.
Polis turut menyiasat sama ada terdapat penghuni lain yang berjaya meninggalkan pusat tahanan itu ketika rusuhan berlaku. - ©BERNAMA