CONAKRY, 24 Ogos. - Sekurang-kurangnya 30 orang maut dalam kejadian tanah runtuh di sebuah tapak pelupusan sampah di Guinea, Afrika Barat, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).
Hujan lebat pada awal pagi Ahad menyebabkan timbunan sampah runtuh dan menimbus beberapa rumah di pinggir Conakry.
Menurut pihak berkuasa, sekurang-kurangnya 22 lagi cedera, termasuk enam orang parah.
Operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan.
Perdana Menteri Amadou Oury Bah melawat lokasi kejadian dan menyampaikan ucapan takziah kepada mereka yang terjejas bagi pihak kerajaan.
Menurut laporan media tempatan, sejak beberapa minggu lalu kerajaan merancang untuk mengukuhkan aspek keselamatan dan membersihkan tapak pelupusan sampah di daerah Dar-es-salam, iaitu antara kawasan termiskin di Conakry.
Kejadian tanah runtuh pernah berlaku di kawasan sama pada 2017 dan meragut sembilan nyawa.
Negara Afrika Barat dengan kira-kira 15 juta penduduk itu merupakan antara pengeksport utama bauksit dunia, iaitu bahan mentah utama dalam penghasilan aluminium.
Bagaimanapun, ramai penduduk masih berdepan kekurangan akses kepada penjagaan kesihatan, pendidikan, bekalan elektrik dan air minuman bersih. - ©BERNAMA