BANGKOK, 25 Ogos. - Dua maut manakala dua lagi cedera dalam insiden tembakan pada awal pagi di daerah Nikhom Phatthana, wilayah Rayong, Thailand, menurut media tempatan pada Selasa, lapor Xinhua.
Siasatan awal polis mendapati seorang lelaki bertengkar dengan pemilik sebuah kedai di tepi jalan ketika membeli air. Lelaki itu kemudian kembali dengan membawa senjata api dan melepaskan beberapa das tembakan.
Pemilik kedai berusia lingkungan 40-an dan rakannya yang berusia 33 tahun maut ditembak. Dua lagi cedera dan dibawa ke hospital. Polis menemukan 10 kelongsong peluru sembilan milimeter di lokasi kejadian.
Selepas kejadian, suspek melarikan diri dengan menaiki kenderaan sebelum dipintas dan ditahan polis.
Motif serta butiran lanjut kes itu masih dalam siasatan. - ©BERNAMA