Berita dan Foto : Ihsan Keluarga DaMai
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 19 Ogos. - Semangat kekeluargaan dan perpaduan terserlah dalam Perhimpunan Hari Keluarga DaMai yang diadakan di Function Hall, Fairview Garden Apartment, Menglait, baru-baru ini.
Perhimpunan tahunan tersebut bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan warga DaMai, di samping mengisi masa lapang dengan aktiviti sihat dan bermanfaat.
Hadir menyerikan majlis ialah Pengiran Tejudin bin Pengiran Haji Damit selaku tetamu kehormat.
Dalam ucapannya, Pengiran Tejudin berkata, perhimpunan berkenaan bukan sekadar acara tahunan, malah menjadi platform bagi warga DaMai daripada pelbagai lapisan untuk berinteraksi dan mengeratkan hubungan di luar suasana kerja.
“Kami sebagai warga DaMai percaya keluarga adalah asas kekuatan. Melalui perhimpunan seperti ini, kita dapat saling mengenali, bergembira bersama dan membina semangat berpasukan yang lebih kukuh untuk masa hadapan,” ujarnya.
Majlis turut diserikan dengan sesi bergambar ramai serta sambutan hari jadi warga DaMai yang lahir dari Januari hingga Disember, yang disusuli dengan sesi memotong kek.
Pelbagai aktiviti menarik turut diadakan, antaranya pertandingan sukaneka yang mendapat sambutan meriah daripada para peserta pelbagai peringkat umur.
Seramai 108 warga DaMai menyertai perhimpunan pada tahun ini. Suasana riuh-rendah dengan gelak tawa anak-anak serta penyertaan aktif para peserta daripada pelbagai peringkat umur menyerikan lagi majlis berkenaan.
Acara diakhiri dengan penyampaian hadiah bagi setiap kategori permainan. Anugerah khas bagi peserta paling aktif berumur bawah 18 tahun dimenangi oleh Dayang Arissa Izz Zayani binti Yasmoon, manakala anugerah khas peserta paling aktif berumur 18 tahun ke atas dimenangi oleh Awang Zainul Muttaqin bin Salleh.