UBD hargai pencapaian graduan cemerlang

14 Og 2026 - 8:41am

Oleh : Nooratini Haji Abas

Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman

TUNGKU LINK, Khamis, 13 Ogos. - Bersempena Majlis Konvokesyen Universiti Brunei Darussalam (UBD) Ke-38, Universiti Brunei Darussalam mengiktiraf pencapaian para pelajarnya yang cemerlang pada Majlis Penyampaian Pingat Universiti dan Hadiah Buku, yang berlangsung di Dewan Canselor, UBD, petang tadi. 

Sebanyak 108 Pingat Universiti, Hadiah Buku, dan Anugerah Kecemerlangan telah disampaikan kepada 98 orang penerima yang disempurnakan oleh Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos selaku Timbalan Pengerusi Majlis UBD. 

Turut hadir ialah Pemangku Menteri Pendidikan, Yang Mulia Dato Seri Paduka Dr. Awang Haji Norarfan bin Haji Zainal; Naib Canselor UBD, Dr. Hazri bin Haji Kifle; Duta Besar Republik Rakyat China ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Chen Shaochun; pegawai-pegawai kanan dan kakitangan, pihak penaja, serta ahli keluarga para penerima anugerah. 

Majlis Penyampaian Pingat dan Hadiah Buku ini bukan sahaja meraikan graduan dan pelajar cemerlang daripada pelbagai bidang dan peringkat pengajian, malah turut memupuk semangat persaingan yang sihat di seluruh kampus. 

Ia juga menjadi pemangkin semangat untuk mencapai kecemerlangan akademik serta memberikan sumbangan aktif kepada masyarakat. 

Manakala itu, Timbalan Naib Canselor UBD, Profesor Dr. Haji Noor Azam bin Orang Kaya Maha Bijaya Haji Othman dalam ucapan alu-aluannya melahirkan ucapan tahniah kepada para penerima dan berharap agar mereka menjadi sumber inspirasi serta motivasi kepada orang lain. 

Penerima Pingat Naib Canselor ialah Dayangku Nur Amal Syazana Pengiran Jamaluddin, yang baharu sahaja menamatkan pengajian dalam program Sarjana Muda Sains Kesihatan (Kejururawatan). Pingat Naib Canselor dianugerahkan berdasarkan merit akademik penerima, sumbangan serta pencapaian yang signifikan dalam aktiviti kokurikulum, dan juga keupayaan mempamerkan kemahiran kepimpinan yang cemerlang. 

Pingat Perak Universiti pula dianugerahkan kepada pelajar tahun akhir terbaik bagi setiap program Sarjana Muda. Enam pingat Perak tahun ini ialah Dayangku Siti Nur Ameerah Nasibah Pengiran Indera Jaya (Sarjana Muda Sastera), Farid Said Mohammed (Sarjana Muda Sains), Seline Phang Min Sing (Sarjana Muda Perniagaan), Chloe Lai Xhue Yiing (Sarjana Muda Sains Kesihatan), Ho Jun Ang (Sarjana Muda Kejuruteraan), dan Awangku Abdul Afif Johnis Pengiran Abdul Aziz (Sarjana Muda Sains Digital). 

Antara penerima Hadiah Buku Universiti terdiri daripada seramai 12 orang pelajar daripada program Sarjana dan 79 orang pelajar lagi daripada program Sarjana Muda masing-masing menerima anugerah berprestij tersebut atas pencapaian cemerlang mereka.

Selain itu, Brunei LNG Sdn. Bhd. juga menyampaikan Anugerah Kecemerlangan kepada tiga penerima Ijazah Kepujian Kelas Pertama dalam bidang Kejuruteraan Kimia dan Proses, serta Kejuruteraan Am dengan Pengkhususan dalam Sistem Tenaga. 

Semasa majlis tersebut, graduan Goh Fui Mien, Chong Zi Wei, dan Awang Mohammad Azeerul Faizz Rabu menerima Anugerah Penghargaan Khas Hengyi. Sementara itu, Tuan Yang Terutama Chen Shaochun menyampaikan Anugerah Duta Besar Republik Rakyat China kepada pelajar-pelajar Bahasa Mandarin: Dayang Siti Rusdina Fitriyah Mohd. Reduan, Duncan Hoh Li Fan, Meissalessah Alihan, Dayang Ummi Nasuha Mohamad Azeni, dan Dayang Nur Qistina Bujang.