Oleh : Hajah Siti Zuraihah Awang Haji Sulaiman
Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman
BERAKAS, Rabu, 12 Ogos. - Usaha memperkukuh pembangunan pasaran modal Negara Brunei Darussalam (NBD) terus diperkasakan menerusi penganjuran Seminar Pembangunan Pasaran Modal Negara Brunei Darussalam : Pengenalan Kepada Penerbitan Sukuk, yang memberi tumpuan kepada sukuk sebagai salah satu instrumen pembiayaan alternatif melalui pasaran modal.
Seminar yang berlangsung di Mulia Hotel itu dianjurkan oleh Credit Guarantee and Investment Facility (CGIF), sebuah dana amanah di bawah Asian Development Bank (ADB) dengan kerjasama Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) dan International Capital Market Association (ICMA).
Disokong oleh Kementerian Kewangan dan Brunei Darussalam Central Bank (BDCB), seminar berkenaan menghimpunkan kira-kira 100 peserta terdiri daripada penggubal-penggubal dasar, pengawal-pengawal selia serta syarikat-syarikat yang berpotensi menerbitkan sukuk, termasuk Syarikat-Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLCs) dan syarikat sektor swasta.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Setiausaha Tetap (Fiskal), Kementerian Kewangan, Awang Haji Asrul Adrain bin Pehin Orang Kaya Setia Pahlawan Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Ahmad.
Penganjuran seminar tersebut bertujuan meningkatkan kefahaman mengenai pilihan pembiayaan alternatif, khususnya sukuk, sebagai instrumen bagi mendapatkan pembiayaan melalui pasaran modal, di samping memberikan gambaran menyeluruh mengenai proses penerbitan sukuk.
Ia turut memberikan pandangan dari sudut praktikal melalui ‘case study’ mengenai penerbitan sukuk yang telah berjaya dijamin dan dilaksanakan di rantau ini. Selain itu, seminar tersebut membentangkan mengenai proses penerbitan sukuk secara menyeluruh di peringkat tempatan serta perbincangan mengenai aspek-aspek utama Syariah.
Ketua Pegawai Eksekutif CGIF, Noriko Nasu dalam ucaptamanya menekankan kepentingan memperkukuh kerjasama antara penggubal dasar, pengawal selia, institusi kewangan dan peserta pasaran bagi menyokong pembangunan pasaran sukuk korporat di NBD.
Menurut beliau, seminar ini diharap akan membawa pengetahuan dan pandangan untuk dipraktikkan dalam membangunkan pasaran sukuk korporat mata wang tempatan di NBD yang lebih dinamik dan berdaya tahan.
Sementara itu, Awang Haji Asrul Adrain dalam ucapan alu-aluannya, menekankan kepentingan untuk memperkukuh ekosistem pasaran modal negara melalui kerjasama, pembangunan kapasiti dan penyertaan sektor korporat yang lebih meluas.
Beliau turut menyarankan para peserta untuk memanfaatkan seminar tersebut sebagai platform meningkatkan kefahaman serta meraih pendedahan kepada amalan-amalan terbaik antarabangsa.
Seminar didahului dengan sesi bertajuk ‘An Introduction on Sukuk as a Financing Mechanism’ yang disampaikan oleh Pakar Kewangan Islam, ICMA, Ammar Ahmed, yang mengongsikan pengetahuan mengenai sukuk sebagai salah satu mekanisme pembiayaan alternatif melalui pasaran modal.
Juga diketengahkan ialah ‘Proses Penerbitan Sukuk dari Perspektif Domestik’ yang menampilkan Pengarah Urusan BIBD Securities, Jason Wong dan Penolong Profesor di Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr. Amnisuhailah binti Abarahan, yang juga merupakan Ahli Badan Penasihat Syariah BIBD dan BIBD Securities.
Sesi berkenaan dikendalikan oleh Ketua Penasihat Pasaran Modal BIBD Securities, Dayang Nurul Adilah binti Haji Abu Bakar, yang membincangkan perjalanan penerbitan sukuk dari perspektif praktikal dan Syariah, termasuk pertimbangan utama, langkah-langkah serta keperluan yang perlu diberi perhatian oleh bakal penerbit.
Selain itu, Timbalan Ketua Kumpulan Perbankan Korporat BIBD, Awang Abd. Azim bin Haji Mohammad, mengendalikan sesi perbincangan bertajuk ‘A Deep Dive into a Successful Sukuk Issuance’ yang mengetengahkan pengalaman penerbitan sukuk PT Global Mediacom Tbk. Perbincangan tersebut menyentuh pengalaman, faktor kejayaan serta pandangan praktikal daripada penerbitan sukuk yang berjaya dijamin dan dibawa ke pasaran.
Menerusi penyertaan tersebut, BIBD dan BIBD Securities mengetengahkan pengalaman praktikal berasaskan pasaran bagi melengkapi perspektif antarabangsa yang dikongsikan sepanjang seminar.
Seminar diakhiri dengan ucapan penutup oleh Naib Presiden Operasi CGIF, Anuj Awasthi, yang menegaskan semula komitmen CGIF dalam menyokong pembiayaan alternatif melalui penyediaan jaminan kredit di rantau ASEAN+3.
Dengan mengambil kira keutamaan CGIF untuk memperkukuhkan pasaran bon Matawang lokal dan sukuk di rantau ASEAN+3, pihak CGIF turut bersedia untuk mendukung fasa seterusnya dalam pembangunan sukuk di NBD. Seminar tersebut mencerminkan aspirasi negara untuk memperkukuh pasaran modal dan menggalakkan penyertaan korporat yang lebih meluas dalam penerbitan sukuk.
Penglibatan berterusan BIBD Securities sebagai pengatur, penasihat dan pendukung kewangan Islam dijangka terus menyumbang kepada pembangunan pasaran sukuk korporat yang lebih kukuh, sekali gus menyokong pertumbuhan perniagaan, kepelbagaian ekonomi dan matlamat Wawasan Brunei 2035.