Berita dan Foto : Siti Rokiah Abdullah
BERAKAS, Selasa, 18 Ogos. - Bagi memastikan perjalanan Perhimpunan dan Perarakan Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam Peringkat Negara bagi Tahun 1448 Hijrah berjalan dengan lancar, satu taklimat dan perjumpaan telah diadakan bersama ketua-ketua pasukan, pagi tadi.
Taklimat dan perjumpaan tersebut telah berlangsung di Dewan Multaqa, Lantai Bawah, Bangunan Darul Hikmah, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Jalan Dewan Majlis, Berakas.
Perjumpaan tersebut dipengerusikan oleh Setiausaha Tetap, KHEU, Dr. Awang Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad, selaku Pengerusi Jawatankuasa Kerja Perhimpunan dan Perarakan bagi Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam Peringkat Negara bagi Tahun 1448H.
Pada tahun ini, perhimpunan dan perarakan akan diadakan secara serentak di seluruh negara yang dijadualkan pada Selasa, 12 Rabiulawal 1448H bersamaan 25 Ogos 2026 Masihi, bermula pukul 7.00 pagi, dengan tema 'Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam Suluh Aqidah'.
Acara kemuncak sambutan di peringkat negara akan diadakan di Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan, yang akan menjadi lokasi utama bagi perhimpunan dan perarakan tersebut.
Antara agensi yang turut memberikan taklimat ialah Jabatan Adat Istiadat Negara; Pasukan Polis Diraja Brunei, Jabatan Perdana Menteri; Jabatan Perubatan dan Kesihatan, Kementerian Kesihatan; Jabatan Pentadbiran dan Perkhidmatan - Perkhidmatan, Kementerian Pendidikan; Jabatan Pentadbiran, KHEU; Bahagian Bangunan dan Pemeliharaan, KHEU serta Urus Setia.
Pada tahun ini, perhimpunan, perarakan dan perbarisan dibahagikan kepada lima kategori, iaitu Pasukan Utama; Kementerian - kementerian; Sekolah - sekolah Menengah dan Institusi Pengajian Tinggi; Sekolah-sekolah Rendah, Ugama dan Persediaan Arab; kampung dan masjid dan persatuan dan sektor swasta.
Melalui taklimat yang diberikan, para wakil ketua pasukan berkesempatan untuk mengambil perhatian terhadap perkara- perkara yang berkaitan, termasuk tatacara, peraturan serta persiapan yang perlu dilaksanakan bagi memastikan perjalanan perhimpunan dan perarakan pada tahun ini dapat berlangsung dengan lancar, teratur dan sempurna, selaras dengan hasrat penganjuran sambutan berkenaan.