Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Daerah Brunei dan Muara
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 22 Ogos. - Jabatan Daerah Brunei dan Muara (JDBM) melalui Bahagian Perlesenan dan Penguatkuasaan menerima aduan mengenai pembuangan sampah di kawasan tanah lapang kawasan Kampung Lugu.
Hasil daripada pemeriksaan ke atas sampah-sampah berkenaaan didapati adalah milik syarikat kontraktor yang menjalankan projek mengubah suai bangunan.
Syarikat berkenaan telah dikeluarkan tawaran denda kompaun kerana melakukan kesalahan di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Rampaian (Penggal 30).
Syarikat tersebut ialah Azra Sdn. Bhd. dan dikeluarkan denda kompaun pada 22 Ogos 2026 berjumlah BND4,000 di bawah Bab 12 (1) (e) dan Bab 12 (1) (f) (ii).
Syarikat berkenaan telah diarahkan untuk menjelaskan denda kompaun dalam masa tujuh hari. Jika gagal, kes akan dibawa ke mahkamah di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Rampaian (Penggal 30), iaitu sabit kesalahan boleh membawa hukuman tidak melebihi BND30,000 bagi syarikat atau penjara tidak melebihi 12 bulan atau kedua-duanya sekali.
Pihak JDBM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang telah menyalurkan maklumat dengan penuh tanggungjawab.
Pihak jabatan juga ingin memohon kerjasama orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat mengenai pembuangan sampah yang menyalahi undang-undang dengan menyertakan alamat lokasi berserta gambar-gambar melalui pesanan WhatsApp +673 8321581.