Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 13 Ogos, - Seorang bapa kandung warga tempatan berumur 36 tahun telah dijatuhkan hukuman penjara selama 27 tahun dan 15 sebatan oleh Mahkamah Tinggi, di sini.
Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Besar, Yang Arif Muhammed Faisal bin Pehin Datu Juragan Laila Diraja Dato Seri Pahlawan Haji Kefli menjatuhkan hukuman berkenaan ke atas defendan setelah didapati bersalah atas kesalahan merogol anak perempuannya sendiri yang bertentangan dengan Bab 376(3)(c) Kanun Hukuman Jenayah, Penggal 22.
Hasil siasatan oleh Unit Siasatan Jenayah Penderaan Wanita dan Kanak-kanak, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) mendapati bahawa defendan telah melakukan perbuatan rogol terhadap anak perempuannya yang berumur 10 tahun di rumah kediaman keluarga mereka pada September 2024.
Susulan kejadian berkenaan, mangsa telah menceritakan perkara tersebut kepada ibu saudaranya sebelah ibu, yang kemudiannya membawa kepada suatu laporan dibuat kepada pihak berkuasa.
Pada akhir perbicaraan, Yang Arif Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Besar mendapati bahawa pihak pendakwaan telah membuktikan kesnya melampaui keraguan yang munasabah dan dengan sewajarnya mensabitkan defendan atas kesalahan berkenaan.
Dalam hujahan, pihak pendakwaan telah menekankan faktor-faktor yang memburukkan yang terdapat dalam kes berkenaan, khususnya umur mangsa yang masih terlalu muda dan sangat terdedah, hakikat bahawa kesalahan tersebut dilakukan di dalam rumah kediaman keluarga, serta kedudukan defendan sebagai bapa kandung mangsa, yang merupakan suatu pelanggaran serius terhadap kepercayaan dan tanggungjawab sebagai ibu bapa.
Faktor-faktor yang memburukkan keadaan berkenaan telah diambil kira sewajarnya oleh mahkamah dalam menjatuhkan hukuman terhadap defendan. Yang Arif Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Besar seterusnya menyatakan bahawa, dalam melakukan kesalahan berkenaan, defendan telah menghancurkan rasa selamat yang sedia ada dalam ikatan kekeluargaan serta mengakibatkan trauma yang amat mendalam terhadap mangsa.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Hajah Siti Mu'izzah binti Haji Sabli.