Program Gelanggang Kampung imbas semula permainan tradisional

16 Og 2026 - 7:16am

 

Siaran Akhbar dan Foto : Ihsan Pertubuhan WARGAMAS

KAMPUNG PARIT, Sabtu, 15 Ogos. - Pertubuhan WARGAMAS dengan kerjasama Unit Realiti, Radio Televisyen Brunei (RTB) menganjurkan Program Gelanggang Kampung yang berlangsung di Taman Peranginan Kampung Parit, hari ini.

Program yang julung-julung kali diadakan itu berkonsepkan silaturahim kekeluargaan dan ukhuwah persahabatan, di samping mengimbas semula suasana permainan gelanggang kampung pada zaman dahulu.

Program berkenaan turut diadakan bersempena Sambutan Hari Ulang Tahun Penubuhan Pertubuhan WARGAMAS Ke-7 dan Sambutan Hari Keluarga 2026, selain dirakam oleh pihak RTB.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Jemaah Penasihat Pertubuhan WARGAMAS, Yang Mulia Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin dan Datin.

Acara dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar, Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat, diikuti ucapan alu-aluan oleh Yang Dipertua Pertubuhan WARGAMAS, Awang Haji Abu Bakar bin Haji Mohd. Don.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan perasmian Program Gelanggang Kampung secara simbolik dengan acara tabur kikik oleh tetamu kehormat, diikuti persembahan silat oleh ahli Pertubuhan WARGAMAS.

Tetamu kehormat turut melawat dan beramah mesra dengan Pasukan Gelanggang Kampung serta Tamu Bulanan PW Ke-14. Acara pembuka turut menyaksikan perlawanan merambat ikanMAS (lelaki warga emas) yang disaksikan oleh tetamu kehormat, sebelum para jemputan menikmati jamuan.

Program Gelanggang Kampung mengetengahkan pelbagai permainan dan aktiviti tradisional, antaranya pertandingan memasak makanan tradisi bagi tiga wanita warga emas, perlawanan main guli bagi tiga lelaki dewasa, permainan simban bagi tiga kanak-kanak perempuan dan permainan tinting bagi tiga kanak-kanak lelaki.

Selain itu, turut diadakan pertandingan bowling pisau melibatkan tiga pasukan terdiri daripada warga emas, remaja atau dewasa dan kanak-kanak, serta acara mengasing-ngasingkan rempah-ratus PuspaMAS secara berpasangan.

Program berkenaan turut memberi peluang kepada masyarakat untuk menghayati semula nilai permainan tradisional yang bukan sahaja menjadi hiburan dan aktiviti riadah, malah berperanan dalam mengeratkan hubungan sosial antara generasi.

Permainan tradisional yang dimainkan secara berkumpulan juga dapat mewujudkan interaksi sosial serta merapatkan hubungan antara golongan veteran dengan generasi muda.

Pada masa dahulu, aktiviti permainan tradisional menjadi antara kegiatan senggang yang dijalankan dengan meriah seakan-akan pesta keramaian, dengan penduduk kampung tanpa mengira usia turun beramai-ramai untuk menyertai pertandingan atau memberikan sokongan.

Permainan tradisional juga mempunyai manfaat terhadap perkembangan fizikal dan mental, termasuk membantu membina kemahiran sosial, meningkatkan kemahiran mengira, merangsang pemikiran positif dan kritis serta melatih seseorang untuk sentiasa fokus dalam sesuatu tugasan.

Walau bagaimanapun, dalam era gajet dan teknologi masa kini, permainan tradisional atau sukan rakyat semakin kurang mendapat perhatian dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda.

Sehubungan itu, Program Gelanggang Kampung diharap dapat menghidupkan kembali minat terhadap permainan tradisional serta memupuk semangat kekeluargaan, persahabatan dan kebersamaan dalam kalangan masyarakat.

Program diakhiri dengan pengumuman dan penyampaian hadiah kepada pasukan serta para pemenang pertandingan, penyampaian cenderamata kepada tetamu kehormat, diikuti bacaan Tasbih Kafarah dan Surah Al-Asr.