Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Daerah Brunei dan Muara
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 22 Ogos. - Jabatan Daerah Brunei dan Muara (JDBM) melalui Bahagian Perlesenan dan Penguatkuasaan telah melaksanakan Operasi Sepadu dengan Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) dan Jabatan Tenaga Manusia dan Pekerjaan (JTMP) pada 18 Ogos 2026 di sebuah unit di dalam bangunan komersial tempat tinggal pekerja warga asing di Kampung Lambak.
Hasil daripada operasi berkenaan, pihak JDBM telah mendapati pelbagai kesalahan di bawah Akta Establismen Kecantikan dan Kesihatan (EKK), Penggal 241, iaitu tidak memiliki lesen EKK yang sah; premis perniagaan mengiklankan perkhidmatan EKK yang tidak mempunyai lesen; tidak menjalani pemeriksaan kesihatan badan; tidak menyediakan bilik persalinan; tidak menyediakan dan mengemas kini buku daftar pekerja; pengamal urut dan refleksologi tidak mempunyai sijil kelayakan dan tidak memasang papan tanda EKK.
Pihak JDBM telah mengeluarkan notis penutupan ke atas unit berkenaan dan diarahkan untuk dihentikan operasi dengan serta merta.
Sementara JIPK mendapati dua individu melakukan kesalahan di bawah peraturan imigresen, iaitu bekerja menggunakan Pas Lawatan manakala seorang lagi bekerja di bawah jaminan syarikat lain.
Individu-individu berkenaan di bawa ke Pejabat Bahagian Penguatkuasaan, JIPK bagi siasatan dan tindakan lanjut.
Manakala JTMP mendapati kesalahan di bawah Bab 70, iaitu gagal memberikan cuti awam yang diwartakan; Bab 112 (1), iaitu menggaji pekerja asing tanpa lesen dari pesuruhjaya; Bab 112 (2), iaitu menempatkan pekerja asing bukan di tempat yang diisytiharkan; dan Bab 112 (2), iaitu pekerja imigran didapati bekerja di bawah syarikat lain.
Langkah penguatkuasaan berkenaan menegaskan komitmen pihak jabatan dalam memastikan semua premis perniagaan mematuhi peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa, demi menjaga kepentingan pengguna serta menjamin tahap keselamatan dan kualiti perkhidmatan yang ditawarkan.
Orang ramai juga digalakkan untuk mendapatkan perkhidmatan hanya daripada premis yang mempunyai lesen yang sah, serta menyalurkan aduan kepada pihak berkuasa sekiranya mengetahui tentang kegiatan tidak berlesen melalui talian WhatsApp +673 8321581.