Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid
Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Adzraie Pg. Haji Nikman
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 13 Ogos. - Perkhemahan Motivasi Program Intervensi Pendidikan (PIP) Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) ialah program sokongan yang diadakan selama tiga hari, untuk membina semangat positif serta membangun dan membentuk jati diri para pelajar agar menjadi individu yang beriman, berdisiplin, berkeyakinan, bertanggungjawab dan berwibawa.
Seramai 60 pelajar yang terdiri daripada pelajar Tahun 11 dan Darjah 6 sekolah ugama yang mengikuti Projek Kelas Tuisyen PIP di lapan buah Pusat Kelas Tuisyen PIP di seluruh negara.
Perkhemahan Motivasi tersebut bermula 10 Ogos 2026 bertempat di Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Kampung Katok. Sehubungan itu, Majlis Penutup Perkhemahan Motivasi telah diadakan pagi tadi dengan penyampaian sijil penyertaan kepada para peserta.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Penolong Pengarah Urusan (Perkhidmatan Korporat), YSHHB, Awang Haji Abdullah @Dollah bin Haji Ahad.
Majlis didahulukan dengan ucapan alu-aluan oleh Ketua Komandan Perkhemahan iaitu Dayang Norajeerah binti Usop serta ucapan daripada wakil peserta iaitu Dayang Nurul Bazillah Humairah binti Afendy.
Perkhemahan Motivasi tersebut merupakan salah satu projek di bawah PIP YSHHB yang dilaksanakan sempena cuti penggal persekolahan. Perkhemahan ini bertujuan untuk memupuk semangat positif serta membangun dan membentuk jati diri para pelajar agar menjadi individu yang beriman, berdisiplin, berkeyakinan, bertanggungjawab dan berwibawa.
Dengan penerapan nilai-nilai tersebut, ia diharapkan akan dapat menjadi asas dalam membantu para pelajar mencapai kejayaan dalam pendidikan dan kehidupan.
Projek Kelas Tuisyen di bawah PIP merupakan salah satu inisiatif YSHHB khusus dalam membantu meningkatkan pencapaian pendidikan anak-anak daripada keluarga berpendapatan rendah dan kurang berkemampuan yang dikenal pasti memerlukan bimbingan secara lebih intensif dalam bidang akademik.
Melalui projek ini, para pelajar diberikan sokongan dan bimbingan bagi membantu mereka meningkatkan pencapaian akademik serta meneruskan pengajian dengan lebih baik hingga ke peringkat yang lebih tinggi.