Siaran Akhbar: Kementerian Hal Ehwal Ugama
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 19 Ogos. - Dalam masa kurang seminggu sahaja lagi, masyarakat Islam di Negara Brunei Darussalam khasnya dan umat Islam di seluruh dunia amnya akan menyambut Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bagi Tahun 1448 Hijrah. Sehubungan dengan itu, bagi memperingati kelahiran Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, Negara Brunei Darussalam akan turut menyambut Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bagi Tahun 1448 Hijrah secara besar-besaran, dengan mengadakan Perhimpunan dan Perarakan serentak di keempat-empat daerah pada Selasa, 12 Rabiulawal 1448 Hijrah bersamaan 25 Ogos 2026 Masihi.
Bagi Daerah Brunei dan Muara, tumpuan utama acara adalah di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan, yang akan bermula pada pukul 7.00 pagi. Sementara itu, lokasi Perhimpunan dan Perarakan bagi daerah-daerah lain adalah seperti berikut: bagi Daerah Belait, acara akan diadakan di Padang Bandaran, Jalan Sultan, Kuala Belait; manakala di Daerah Tutong, acara akan diadakan Kawasan Lapang Kompleks Dewan Kemasyarakatan Daerah Tutong dan bagi Daerah Temburong, acara akan diadakan di Kawasan Letak Kereta Dewan Belalong, Kompleks Dewan Kemasyarakatan Mukim Bangar. Tema bagi Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam Peringkat Negara bagi Tahun 1448 Hijrah ialah ‘Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam Suluh Aqidah’.
Sebagai persediaan bagi memastikan kelancaran acara kemuncak Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam Peringkat Negara bagi Tahun 1448 Hijrah, Latihan Penuh (‘Rehearsal’) bagi Daerah Brunei dan Muara akan diadakan pada Khamis, 20 Ogos 2026 bertujuan untuk memastikan segala persiapan, pergerakan dan penyelarasan antara pihak yang terlibat dapat dilaksanakan dengan teratur pada acara kemuncak nanti.
Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam Peringkat Negara bagi Tahun 1448 Hijrah dikendalikan bersama oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama; Jabatan Perdana Menteri; Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri serta Dewan Perusahaan dan Perniagaan Melayu Brunei. Sama-samalah kita memperbanyakkan selawat ke atas Junjungan Besar kita, Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam. Semoga dengan memperbanyakkan selawat, kita semua dikurniakan rahmat, keberkatan dan keredaan daripada Allah Subhanahu Wata‘ala jua.