Siaran Akhbar : Kementerian Hal Ehwal Ugama
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 13 Ogos. - Jabatan Hal Ehwal Masjid (JHEM), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha (Masjid RIPAHS), Kampung Rimba, akan mengendalikan Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Saringan Kebangsaan Bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi.
Musabaqah berkenaan adalah merupakan musabaqah peringkat awal bagi pemilihan qari dan qariah untuk melayakkan diri seterusnya ke peringkat separuh akhir yang akan dikendalikan oleh Bahagian Kemajuan Syiar Islam, KHEU.
Syarat kelayakan bagi menyertai musabaqah berkenaan ialah hendaklah rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam (pemegang Kad Pengenalan warna kuning), beragama Islam, bermazhab Syafi'i aliran Ahli Sunnah Waljamaah; dan berumur tidak kurang dari 18 tahun dan tidak lebih dari 40 tahun semasa mendaftar.
Pemilihan awal peringkat saringan kebangsaan bagi tahun 1448H/2026M akan diadakan selama empat hari bermula pada 20, 21, 22, dan 24 Oktober 2026, bertempat di Masjid RIPAHS, Kampung Rimba.
Sehubungan itu, borang penyertaan Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Saringan Kebangsaan Bagi Tahun 1448H/2026M boleh didapati di Bahagian Imarah, JHEM, KHEU, Bandar Seri Begawan.
Borang yang telah lengkap diisi bolehlah dihantar ke Bahagian Imarah, JHEM tidak lewat pada Sabtu, 10 Oktober 2026, pukul 4.00 petang (tertakluk kepada perubahan).
Untuk makluman lanjut, sebarang pertanyaan bolehlah berhubung terus dengan pegawai-pegawai berikut, iaitu Dayang Hajah Surinah / Tini binti Haji Shamsuddin, Bahagian Imarah, JHEM, di talian +673 8878570; Awang Riza Masdi bin Haji Mamit, Bahagian Imarah, JHEM, di talian +673 8747125; dan Awang Haji Kamaruzaman bin Haji Jakar, Bahagian Imarah, JHEM, di talian +673 8831350.