Oleh : Nur Amalia Alisha Daud
Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohd. Sahrizal Haji Said
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 8 Ogos. - Penggubalan Kod Etika merupakan satu langkah memperkukuhkan kewibawaan dan keberkesanan Majlis Mesyuarat Negara (MMN).
Pembangunan modal insan pula, bukan hanya melalui ilmu dan kemahiran, tetapi turut memerlukan nilai integriti, disiplin, adab dan tanggungjawab.
“Kod Etika juga perlu dilihat bukan sebagai satu mekanisme untuk mencari kesalahan Ahli-ahli Yang Berhormat, sebaliknya ia hendaklah menjadi panduan untuk kita menjalankan amanah dengan lebih baik,” jelas Ahli MMN, Yang Berhormat Awang Mohammad bin Abdullah@Lim Swee Ann, Ketua Kampung Bukit Sawat ketika membahaskan Usul Penggubalan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli MMN pada hari keempat Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.
Kita tegas Yang Berhormat diberikan kebebasan untuk bersuara, menyoal, mengkritik dan berbeza pandangan. Namun, semuanya hendaklah dilandasi tanggungjawab, adab, fakta dan rasa hormat terhadap institusi dengan kepentingan Negara Brunei Darussalam (NBD) serta kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.
Dalam konteks pembangunan negara, keyakinan juga merupakan satu aset yang sangat penting. Keyakinan rakyat terhadap institusi akan meningkatkan kepercayaan terhadap pemerintahan dan sistem penyampaian kerajaan.
Begitu juga keyakinan pelabur dan masyarakat antarabangsa terhadap keupayaan negara, dalam melaksanakan tadbir urus yang baik, akan membantu kewujudan persekitaran yang lebih kondusif untuk pembangunan ekonomi. Maka, integriti institusi bukan sekadar persoalan etika, tetapi juga mempunyai hubungan dengan kestabilan sosial, keyakinan ekonomi dan kemajuan negara.
Sebab itu tekan Yang Berhormat, pengukuhan institusi perlu bergerak seiring dengan pembangunan ekonomi. Wawasan Brunei 2035 adalah wawasan untuk generasi akan datang.
Setiap keputusan dan pembaharuan yang kita lakukan hari ini, tegas Yang Berhormat akan menentukan negara kita, yang kita wariskan kepada generasi akan datang.
Justeru, penggubalan Kod Etika ini jelas Yang Berhormat, merupakan satu bentuk tanggungjawab untuk membina kebudayaan, membina budaya institusi yang berani menilai diri, memperbaiki kelemahan dan sentiasa meningkatkan standard demi masa depan negara yang lebih baik.
Kata Yang Berhormat lagi, pada akhirnya, Wawasan Brunei 2035 tidak akan tercapai hanya dengan membina infrastruktur, memperkenalkan teknologi atau mengembangkan ekonomi. Kita perlu membina manusia yang berkualiti dan institusi yang berwibawa.
Yang Berhormat menekankan ekonomi yang berkembang tanpa integriti, teknologi yang maju tanpa tadbir urus yang baik dan pembangunan tanpa institusi yang dipercayai akan sukar menjamin kemajuan yang kukuh, berdaya tahan dan berterusan.
Terdahulu, Yang Berhormat menjunjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas perkenan baginda terhadap Penggubalan Kod Etika dan Tatakelakuan bagi Ahli-ahli MMN.
Menurut Yang Berhormat, usaha ini merupakan satu langkah yang sangat bermakna dalam memperkukuhkan akauntabiliti, kewibawaan integriti, dan profesionalisme institusi MMN.
Lebih daripada sekadar mengatakan tatakelakuan Ahli-ahli MMN, Yang Berhormat menekankan bahawa menggubal Kod Etika ini bahawa satu mesej yang lebih besar iaitu komitmen untuk terus memperkukuhkan institusi negara supaya sentiasa mempunyai standard yang tinggi, berintegriti dan diyakini oleh rakyat.
Yang Berhormat turut mengaitkan perkara ini dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang sentiasa menekankan kepentingan tadbir urus yang baik, integriti, akauntabiliti serta keyakinan rakyat terhadap institusi negara.
Tegas Yang Berhormat lagi, titah-titah baginda mengenai dengan usaha membanteras rasuah, salah guna kuasa dan memperkukuhkan tadbir urus hendaklah dilihat sebagai satu amanah yang perlu diterjemahkan melalui tindakan dan amalan dalam setiap institusi negara.
Justeru, Yang Berhormat menyokong penggubalan Kod Etika dan Tatakelakuan ini sebagai satu langkah ke arah memperkukuhkan institusi MMN dan menyokong pencapaian Wawasan Brunei 2035. Ini bukan matlamat akhir, ia adalah permulaan pada satu budaya yang lebih baik, budaya integriti, amanah, profesionalisme, akauntabiliti, adab dan tanggungjawab.
“Dan akhirnya, kita mahu melihat sebuah MMN yang mencerminkan negara yang kita cita-citakan, melalui Wawasan Brunei 2035. Sebuah negara yang maju, berdaya tahan, menpunyai kualiti, rakyat yang ekonomi yang kukuh, kehidupan yang sejahtera serta institusi yang berwibawa, dipercayai kerana dihormati dan pada akhirnya pembangunan negara bukan sekadar membina masa depan, kita juga mesti membina manusia dan institusi yang mampu membawa masa depan tersebut. Dengan penuh hormat, kaola menyokong pindaan penggubalan Kod Etika dan Tatakelakuan bagi Ahli-ahli MMN,” ujar Yang Berhormat mengakhiri perbahasan.