Siaran Akhbar : Jabatan Penerbangan Awam
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 19 Ogos. - Jabatan Penerbangan Awam (DCA) memaklumkan bahawa kawasan dalam lingkungan tiga batu nautika, bersamaan 5.56 kilometer radius dari Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan, akan diisytiharkan sebagai kawasan ruang udara terhad pada 25 Ogos 2026.
Pengisytiharan berkenaan merupakan langkah tambahan bagi memastikan aspek sekuriti dan keselamatan di kawasan tersebut sentiasa terpelihara.
Di bawah pengisytiharan berkenaan, semua pesawat termasuk dron atau pesawat udara kawalan jauh tidak dibenarkan beroperasi dalam ruang udara terbabit, kecuali setelah mendapat keizinan daripada pihak berkuasa yang berkenaan.
Kegagalan mematuhi pengisytiharan tersebut dianggap sebagai pelanggaran undang-undang dan peraturan Negara Brunei Darussalam di bawah Seksyen 50, Perintah Penerbangan Awam, Bab 290.
Orang ramai yang memerlukan maklumat lanjut boleh menghubungi Ketua Bahagian Regulatori, Jabatan Penerbangan Awam melalui talian +673 233 0142 sambungan 1455 atau e-mel ‘unmanned.aircraft@dca.gov.bn’.
Jabatan Penerbangan Awam merakamkan penghargaan kepada orang ramai atas kerjasama dan pematuhan terhadap pengisytiharan berkenaan.