Oleh : Nur Amalia Alisha Daud
Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohd. Sahrizal Haji Said
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 8 Ogos. - Dalam era yang serba pantas dan terbuka ini, masyarakat bukan sahaja menilai apa yang diperkatakan dalam Dewan Persidangan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) malah turut menilai tingkah laku kita di luar dewan.
Oleh itu, Kod Etika dan Tatakelakuan yang dicadangkan ini amat bertepatan kerana ia menetapkan satu piawaian yang jelas mengenai nilai, prinsip dan tingkah laku yang perlu dipatuhi oleh setiap Ahli MMN.
Kod tersebut bukan bertujuan mencari kesalahan atau menghukum mana-mana pihak, sebaliknya ia berfungsi sebagai panduan bersama dalam memastikan setiap ahli sentiasa membuat pertimbangan yang berasaskan kepentingan negara, bukan kepentingan peribadi.
Perkara tersebut disuarakan oleh Ahli MMN, Yang Berhormat Awang Mohammad Ali bin Tanjong, Ketua Kampung Lumapas ‘B’ semasa membahaskan Usul Penggubalan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli MMN pada hari keempat Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.
Antara perkara penting yang diberi perhatian jelas Yang Berhormat ialah mengisytiharkan keperluan kepentingan dan mengelakkan konflik kepentingan. Dalam mana-mana institusi yang mengamalkan tadbir urus yang baik, prinsip ini merupakan asas kepada integriti.
Menurut Yang Berhormat, apabila seorang ahli mempunyai kepentingan yang boleh mempengaruhi pertimbangannya, perkara tersebut hendaklah diisytiharkan secara telus supaya setiap keputusan yang dibuat tidak menimbulkan presepsi negatif.
Walaupun seorang ahli mungkin bertindak dengan jujur, presepsi masyarakat juga perlu diambil kira. Dalam hal ini, ketelusan menjadi benteng utama bagi memelihara keyakinan orang ramai terhadap institusi MMN.
Mengenai peruntukan penerimaan hadiah dan layanan sebagai pemegang amanah awam tegas Yang Berhormat, setiap ahli perlu sentiasa berhati-hati supaya sebarang hadiah atau layanan yang diterima tidak boleh ditafsirkan sebagai mempunyai tujuan mempengaruhi pertimbangan keputusan atau begitu juga dengan penggunaan sumber dan kemudahan yang disediakan oleh kerajaan.
“Segala kemudahan yang diberikan kepada Ahli MMN merupakan amanah yang perlu digunakan secara berhemat, berintegriti dan hanya bagi tujuan melaksanakan tanggungjawab rasmi. Dalam dunia digital masa kini, satu lagi aspek yang semakin penting ialah penggunaan maklumat dan media sosial. Sebagai Ahli MMN, kita mempunyai akses kepada maklumat yang ada kalanya bersifat sensitif atau sulit.”
“Oleh itu, tanggungjawab menjaga kerahsiaan maklumat adalah amat penting bagi melindungi kepentingan negara dan memastikan proses membuat dasar tidak terjejas. Begitu juga dalam penggunaan media sosial, setiap kenyataan atau pandangan yang dikongsikan oleh Ahli MMN boleh memberi kesan kepada persepsi masyarakat. Oleh itu, penggunaan media sosial hendaklah sentiasa mencerminkan nilai kesopanan, profesionalisme dan rasa tanggungjawab sebagai seorang Ahli MMN,” jelas Yang Berhormat.
Yang Berhormat mengambil maklum dan menyambut baik bahawa Kod tersebut telah disediakan melalui proses perundangan bersama Ahli-ahli MMN. Ini menunjukkan bahawa kod tersebut bukanlah satu yang dikenakan secara sepihak, tetapi dibentuk melalui semangat musyawarah dan kesepakatan bersama.
Yang Berhormat juga berpandangan bahawa mekanisme pentadbiran, penerimaan aduan, penyiasatan dan pengesyoran tindakan disiplin yang diperuntukkan adalah penting bagi memastikan kod tersebut bukan sekadar menjadi dokumen rujukan, tetapi benar-benar dapat dilaksanakan secara berkesan, adil dan konsisten.
Namun demikian dalam pelaksanaannya nanti, Yang Berhormat berharap pendekatan yang diambil akan lebih menekankan aspek pendidikan, nasihat dan pembudayaan nilai-nilai integriti di samping tindakan yang sewajarnya, sekiranya berlaku perlanggaran yang serius.
“Kaola juga ingin menyentuh mengenai keputusan supaya kod ini dikaji semula seperti secara berkala. Kaola melihat perkara ini sebagai satu langkah yang sangat positif. Dunia sentiasa berubah. Begitu juga cabaran yang dihadapi oleh institusi awam. Isu-isu baharu seperti penggunaan Kecerdasan Buatan, keselamatan siber, komunikasi digital dan hubungan dengan pelbagai pihak kepentingan mungkin memerlukan penambahbaikan kepada Kod ini pada masa akan datang.”
“Oleh itu, semakan secara berkala akan memastikan Kod Etika dan Tatakelakuan ini terus relevan, praktikal dan memenuhi kehendak semasa. Kaola percaya bahawa pengesahan Kod Etika dan Tatakelakuan ini bukan sekadar memenuhi satu keperluan pentadbiran, malah merupakan satu komitmen moral dan institusi untuk memperkukuhkan integriti MMN,” ujar Yang Berhormat lagi.
Integriti tegas Yang Berhormat bukan hanya diukur apabila seorang berada di bawah pemerhatian, tapi lebih penting apabila amanah itu dilaksanakan dengan jujur walaupun tanpa pengawasan.
Sekiranya setiap Ahli MMN menjadikan Kod tersebut sebagai panduan dalam setiap tindakan dan keputusan, insyaaAllah institusi MMN akan terus dipandang tinggi, dihormati oleh rakyat dan menjadi contoh kepada institusi-institusi lain dalam negara.
Terdahulu, Yang Berhormat merafakkan sembah menjunjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas titah baginda yang sentiasa menitikberatkan nilai integriti, akauntabiliti dan tadbir urus yang baik dalam pentadbiran negara.
Cadangan tersebut jelas Yang Berhormat merupakan satu manifestasi yang jelas dalam menterjemahkan hasrat baginda supaya institusi MMN terus diperkukuhkan sebagai sebuah institusi yang dihormati, diyakini dan menjadi contoh kepada semua.
Kepercayaan rakyat terhadap sebuah institusi tidak hanya bergantung kepada keputusan yang dibuat tetapi juga bagaimana keputusan itu dibuat dan bagaimana individu yang memegang amanah itu berkelakuan.
“Akhir sekali, kaola berharap pengesahan Kod Etika dan Tatakelakuan ini akan menjadi satu legasi yang berterusan, bukan hanya untuk Ahli MMN pada masa ini, malah ia menjadi panduan kepada Ahli-ahli MMN pada masa hadapan.”
“Dengan itu, akauntabiliti, budaya ketelusan integriti, dan profesionalisme akan terus subur dalam institusi ini, sekali gus memperkukuhkan kepercayaan rakyat terhadap MMN sebagai institusi yang sentiasa menjunjung amanah dan berkhidmat demi agama, raja dan negara.
“Dengan penuh hormat, kaola menyatakan sokongan terhadap usul ini dan bersetuju supaya Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli MMN diluluskan dan dikuatkuasakan,” ujar Yang Berhormat lagi mengakhiri perbahasan.